Pilihan EditorTwo Cents

Hairan Malaysia Tiada ‘Kuda Bertanduk’ ?

PADA April lalu, portal berita berpangkalan di Indonesia, Seasia.co mendedahkan senarai 17 syarikat unikorn (kuda bertanduk) utama di Asia Tenggara.

Tiada satu pun syarikat yang tersenarai datang dari Malaysia. Ia termasuk SEA, Razer, Trax, Grab, Lazada, Bigo Live, HyalRoute dan Patsnap dari Singapura; Go-Jek, Traveloka, Tokopedia, Bukalapak, J&T Express dan OVO (Indonesia); Revolution Precrafted (Filipina) serta VNG dan VNPay (Vietnam).

Unikorn atau dalam bahasa Inggeris, unicorn ialah istilah dalam dunia perniagaan untuk merujuk syarikat startup (pemula niaga) bernilai lebih dari AS$1 bilion. Istilah ini dicipta pada 2013 sempena nama haiwan mitos itu untuk mewakili kesukaran berada dalam senarai berkenaan.

Terdapat lebih daripada 450 unikorn di seluruh dunia pada 2020. Unikorn terbesar termasuk ByteDance, DiDi Chuxing, SpaceX, Palantir Technologies dan Airbnb.

Dalam senarai terbaharu pada April lalu, hanya Grab yang mungkin mempunyai kaitan dengan Malaysia kerana diasaskan oleh rakyat negara ini, Anthony Tan.

Nama asal syarikat yang ditubuhkan pada 2012 ialah MyTeksi. Setelah gagal mendapat pinjaman daripada bank dan sokongan pemerintah, ia berpindah ke Singapura dan menukar nama kepada Grab pada 2014.

Dalam satu temu bual, Anthony pernah mendedahkan, syarikat itu berpindah kerana Singapura mempunyai ekosistem syarikat pemula niaga yang lebih baik berbanding Malaysia sekali gus memudahkannya berkembang.

Selain itu, Grab juga mendapat suntikan pelaburan awal daripada syarikat dana kekayaan Singapura, Temasek Holdings.

Perangkaan itu jelas menunjukkan syarikat-syarikat dari Malaysia terus ketinggalan. Puncanya sudah tentu ekosistem perniagaan di negara ini yang masih tidak mesra syarikat pemula niaga apabila tender projek besar yang bernilai berbilion-bilion ringgit dimonopoli oleh kartel.

Cukup menyedihkan, negara-negara yang dikatakan lebih ketinggalan dari Malaysia seperti Indonesia, Vietnam dan Filipina jauh terkehadapan dan mempunyai lebih banyak unikorn.

Pandemik Covid-19 sudah pasti akan menyebabkan syarikat pemula niaga Malaysia yang bercita-cita menjadi unikorn seperti Aerodyne, Carsome, EasyParcel, Fave, iFlix, Kaodim dan Pop Meals hanya boleh melupakan hasrat mereka.

Mereka sudah tentu sukar untuk menambah modal dan meningkatkan jualan. Apa pun halangan yang menimpa, Grab membuktikan syarikat unikorn boleh dilahirkan di Malaysia meskipun akhirnya terpaksa memindahkan ibu pejabat ke seberang Tambak Johor.

Saya berpendapat, antara cara untuk mencapai taraf unikorn adalah memanfaatkan kebanjiran teknologi baharu bagi mendapat status syarikat bernilai lebih daripada AS$1 bilion yang ada antaranya mampu berbuat demikian dalam tempoh dua tahun selepas ditubuhkan.

Ledakan bidang komunikasi dan maklumat (ICT) serta jumlah pengguna media sosial yang ramai di Malaysia dan dengan penduduk di Asia Tenggara berjumlah lebih 655 juta orang, potensi pasaran adalah cukup besar.

Penggunaan teknologi terbaharu akan membolehkan unikorn mengembangkan perniagaan dengan lebih cepat.

Jika telah berjaya melahirkan banyak unikorn, barulah selepas itu kita boleh bercakap mengenai decacorn yang bernilai lebih AS$10 bilion dan hectocorn (lebih AS$100 bilion). – UTUSUN

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close