Dalam satu lagi langkah merealisasikan visi kerajaan madani, Ahli Parlimen Batu Gajah, Tuan V Sivakumar, telah menggerakkan inisiatifnya dengan sumbangan basikal elektrik kepada seorang warga emas tempatan di kawasan parlimennya, baharu-baharu ini.
Usaha murni Sivakumar itu bukan sekadar komitmen selaku seorang Ahli Parlimen penyokong kerajaan, malah falsafah madani itu adalah membantu golongan kurang berkemampuan tidak kira latar belakang, kaum dan agama dalam kalangan rakyat.
Penerima, Edros Abdul Karim, penduduk Kampung Piandang, Batu Gajah, tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila menerima basikal elektrik daripada Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Batu Gajah. Sumbangan ini bukan sekadar pemberian biasa, tetapi merupakan pemangkin perubahan dalam kehidupan harian beliau dan isterinya.
“Basikal elektrik ini bukan sekadar alat pengangkutan, ia adalah harapan baru bagi Edros untuk meneruskan kehidupan dengan lebih bermakna,” ujar Svakumar.
Beliau menambah, inilah erti sebenar kerajaan madani – memahami dan memenuhi keperluan rakyat, terutamanya golongan yang memerlukan.
Dengan adanya basikal elektrik ini, Edros kini mampu melakukan kerja sambilan untuk menyara diri dan isterinya.
Selain itu, urusan membeli barangan keperluan harian menjadi lebih mudah.
Lebih menggembirakan, penerima basikal elektrik ini kini dapat ke surau setiap hari dengan lebih selesa, memenuhi keperluan rohani beliau.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada program bantuan kerajaan bertujuan meringankan beban rakyat, terutamanya warga emas dan golongan berpendapatan rendah.
Sivakumar menzahirkan iltizamnya akan terus berusaha mencari jalan untuk membantu masyarakat setempat, selaras dengan aspirasi kerajaan madani.
“Kami percaya bahawa setiap sumbangan, tidak kira sekecil mana, boleh membawa impak besar dalam kehidupan seseorang. Inilah komitmen kami dalam membina masyarakat yang prihatin dan saling membantu,” tambah Ahli Parlimen Batu Gajah ini.
Sumbangan ini bukan sahaja telah mengubah kehidupan Edros dan keluarganya, tetapi juga menjadi simbol harapan bagi penduduk Batu Gajah.
Ia membuktikan bahawa dengan kerjasama antara kerajaan dan rakyat, ia dapat membina masyarakat yang lebih inklusif dan makmur, sejajar dengan visi kerajaan madani. – BACALAHMALAYSIA.MY