Pilihan EditorTwo Cents

UMNO Bangkit Kembali ? – Peguam Muda Kampung

Oleh Faisalludin Mohamat Yusuff

 

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana berjaya mengembalikan semula pentadbiran Kerajaan Negeri Perak kepada yang haknya.

Di sebalik kecaman yang beliau hadapi akibat tuduhan terpilih di Mahkamah, di sebalik kurangnya hormat sebahagian ahli UMNO dan rakyat Malaysia kepada beliau akibat termakan fitnah yang melampau, ditambah statusnya selaku seorang Presiden yang tempang, yang tidak punya kuasa dalam kabinet Kerajaan, Ahmad Zahid  tanpa kita sedar berjaya sedikit demi sedikit mengembalikan semula maruah dan harga diri UMNO di mata rakyat dan dunia.

KEMBALIKAN SEMULA KEYAKINAN UMNO

Ya memang benar, jika dilihat kepada kaji selidik yang dibuat di laman-laman media sosial, Ahmad Zahid bukanlah pemimpin yang paling popular di dalam negara ini, bahkan tidak keterlaluan jika saya katakan, beliau adalah Presiden UMNO Pertama yang tidak popular semasa menjadi Presiden.

Tetapi umpama kata-kata yang diungkapkan oleh Eleanor Roosevelt yang merupakan isteri kepada Presiden Amerika yang ke 32, “A good leader inspires people to have confidence in the leader, a GREAT LEADER inspires people to have confidence in themselves”.

Walaupun UMNO dan BN hilang kuasa pada PRU 14, tetapi kepimpinan yang ditunjukkan oleh Ahmad Zahid telah membuatkan ahli UMNO dan BN yang kalah perang, hilang semangat, kecewa, luka berdarah dan dikhianati.

Kini kembali bangkit, yakin dan percaya kepada diri mereka sendiri untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan negara.

Dirinya masih luka berdarah, tetapi beliau ketepikan itu semua dan memberi inspirasi pula kepada ahli UMNO dan BN untuk terus bangkit dan mara kehadapan.

Kemenangan demi kemenangan yang dikecapi di dalam beberapa siri PRK pasca PRU 14 dan kembalinya semula kerajaan Negeri Sabah ke tangan kerajaan PN yang didokong oleh UMNO.

Jelas menunjukkan bahawa ahli dan jentera UMNO sudah kembali bangkit dan pulih semula untuk membuktikan kepada rakyat bahawa KAMI masih relevan dan mampu memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat dan negara.

BUANG YANG KERUH AMBILLAH YANG JERNIH

Dalam tempoh beberapa bulan ini, sudah dua kali Ahmad Zahid memohon maaf.

Beliau adalah pemimpin pertama yang memohon maaf kepada rakyat Malaysia akibat kenaikan mendadak kes Covid-19 selepas PRN Sabah walaupun hakikatnya bukan beliau yang mahukan pilihanraya, tetapi pemimpin Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal yang membubarkan Dewan Undangan Negeri Sabah ditaktala Covid-19 sedang ganas melanda.

Terbaru, beliau telah mewakili pimpinan UMNO Perak memohon maaf kepada Presiden Pas dan Presiden Bersatu di atas kekhilafan yang berlaku.

Kedua-dua permohonan maaf ini tersebar dengan luas di laman-laman media sosial dan pastinya ramai yang mengherdik dan mengeji beliau tetapi tidak kurang juga ramai yang memuji jiwa besar Ahmad Zahid selaku seorang yang layak digelar “Negarawan”.

 Apologizing doesn’t mean that you were wrong, or the other person was right. It means that your relationship is valuable than your ego.

Jika seorang Presiden sanggup memohon maaf hanya kerana untuk memastikan khidmat bakti kepada rakyat diteruskan, maka kita selaku ahli Umno wajib berjiwa besar dan buanglah yang keruh ambillah yang jernih.

Jangan kita samakan diri kita dengan Pengkhianat yang hanya pandai menuding satu jari ke arah orang, kerana fokus utama kita adalah untuk rakyat dan demi rakyat, dulu kini dan selamanya.

CHECK AND BALANCE

Jika dahulu, konsep kerajaan yang stabil berpaksikan kepada pembangkang yang kuat.

Tetapi kini dan masa hadapan, ahli parlimen di kalangan kerajaan ataupun parti yang mewakili kerajaan harus juga mempunyai sikap check and balance.

Ianya bukan sahaja adat semata-mata untuk pihak pembangkang bersuara, tetapi setiap wakil rakyat wajib bersuara tidak kira parti demi memperjuangkan untung rugi rakyat.

Sikap yang ditunjukkan oleh Pemuda dan Puteri Umno dalam memenangi isu rakyat masa kini sangat terpuji walaupun disindir dengan kata-kata nak jadi popular atau tiada group wassApp..kah dan sebagainya.

Usaha seperti menjuarai isu KWSP dan Morotarium jangan berhenti setakat ini. Umno harus dilihat oleh rakyat sebagai Parti yang memperjuangkan nasib mereka apatah lagi di waktu pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi yang melanda negara dan dunia.

GAGASAN POLITIK DEMI PERPADUAN RAKYAT 

Setiausaha Agung Parti Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin baru-baru ini di dalam laman FBnya telah mencadangkan satu gagasan besar diwujudkan secara rasmi bagi melambangkan kesatuan dalam kalangan Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak.

Beliau menambah bahawa dengan tertubuhnya gagasan ini kelak, rakyat akan lebih yakin bahawa gagasan ini mempunyai kestabilan politik untuk mentadbir negara.

Sukar untuk saya untuk tidak bersetuju dengan cadangan beliau memandangkan saya percaya kepada prinsip “kestabilan politik” untuk memastikan “kestabilan negara”.

Tetapi persoalannya, adakah Gagasan demi gagasan atau perikatan demi perikatan dapat menjamin kestabilan politik dan negara.

Paling penting adakah ianya dapat menjamin perpaduan di antara kaum yang semakin menjurang dalam negara ini.

Kita jangan lupa hakikat bahawa berdasarkan kepada PRU 12, 13 dan 14 yang lalu, sokongan masyarakat Cina kepada parti-parti di bawah BN semakin jelas menurun.

Bahkan di semua PRK selepas PRU 14 dan PRN Sabah baru-baru ini, DAP terutamanya adalah parti yang menjadi tempat bergantung masyarakat Cina. Sokongan masyarakat Cina kepada parti ini semakin kuat dan konsisten.

Ianya seolah-olah sudah menjadi satu institusi kebanggaan mereka. Manakala, kaum Bumiputera pula semakin kuat menyokong BN atau PN.

Ini tidak baik untuk negara, bahkan boleh mendatangkan mudarat.

Maka apa pilihan yang ada. bagi saya secara peribadi, walaupun DAP adalah satu-satunya parti yang saya curigai hasil dari didikan dan ajaran yang saya terima selama ini, bahkan majoriti umat Melayu dan Islam sukar untuk menerima DAP, tetapi demi menyatukan semula negara ini, mungkin sudah sampai masanya gagasan baru atau pakatan baru atau apa sahaja namanya harus dilakukan dengan parti DAP ini.

Tetapi mahukah DAP menyetujui syarat-syarat yang diperjuangkan oleh Umno selama ini terutama berkaitan menghormati Institusi Raja, menghormati kedudukan Bahasa Melayu dan Hak Bumiputera, menghormati Agama Islam dan institusinya sebagai Agama Persekutuan dan DAP tidak akan sama sekali membuat sebarang tindakan yang boleh menyakiti dan mengguris hati orang Melayu dan Islam.

Pastinya sukar untuk DAP penuhi tetapi tiada yang mustahil dalam dunia apatah lagi dalam politik.

Apa juga keadaan yang berlaku, Muafakat Nasional yang menyatukan ummah wajib dipertahankan. Bila ummah ini kuat dan bersatu, insyallah negara ini akan bangkit semula dari tanah yang gersang.

POLITIK MERAKYAT

UMNO wajib kembali semula kepada sikap “politik merakyat” kerana sifat inilah yang menjadikan Umno kekal utuh sehingga ke hari ini.

Kita harus mencontohi watak-watak seperti Ustaz Ebit Liew, Uncle Kentang, Ustaz Firdaus ,Wong KakOjieKitchen dan ramai lagi yang terus memberi jasa dan bakti kepada semua tanpa mengira warna kulit agama dan bangsa.

Aktiviti merakyat yang dilakukan oleh Wanita, Pemuda dan Puteri Umno ketika ini sangat disenangi oleh rakyat.

Walaupun sedikit, bantuan dan sokongan yang diberikan sangat bermakna kepada rakyat yang kesusahan dan kesempitan.

Kita tidak boleh lagi beretorik tetapi perlu menunjukkan usaha memenangi hati rakyat. Ianya tidak boleh dilakukan secara bermusim atau penuh dengan formaliti yang ketinggalan zaman.

BINA SEMULA NEGARA

Umno sudah terbukti mampu membangunkan negara sebagaimana sebelum PRU14 yang lalu.

Rakyat juga sudah sedar dan faham bagaimana keadaan negara ini setelah ditadbir oleh Pakatan Harapan.

Segala kegemilangan yang dicipta sebelum ini lebur sekelip mata dalam tempoh 22 bulan PH memerintah negara ini.

Maka Umno wajib bersedia untuk memikul amanah semula untuk membangunkan negara ini kembali baik dari segi ekonomi mahupun mengukuhkan perpaduan di antara rakyat.

“Great leaders don’t try to be perfect. They try to be themselves. And that’s what makes them great”. – BACALAHMALAYSIA.MY

 

  • Penulis ialah peguam muda kampung.

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close