MalaysiaPilihan Editor

ISU PENGGABUNGAN FAKULTI DI UiTM: “Kami Tidak Bersetuju Tindakan Ini ! – Alumni MASCOMM UiTM

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

“Kami tidak bersetuju dengan tindakan ini !

“Ia akan melemahkan pendidikan asas komunikasi massa iaitu menyampaikan maklumat kepada orang ramai !

Ketegasan itu disuarakan Alumni Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (Masscomm UiTM) yang tidak bersetuju keputusan UiTM menggabungkan fakulti itu dengan Fakulti Sains, Komputer dan Matematik.

Pengerusinya, Basree Rakijan yang melahirkan keprihatinan terhadap keputusan universiti menyifatkan ia akan melemahkan pendidikan asas komunikasi massa iaitu menyampaikan maklumat kepada orang ramai.

“Pelajar komunikasi hendaklah dilatih dengan kepakaran yang diamalkan menerusi pelbagai media seperti akhbar, majalah, radio, televisyen, filem, media sosial dan internet.

“Platform ini memerlukan kemahiran berfikir dan membuat analisis, kreativiti serta kepakaran mencipta kandungan,” kata Basree dalam satu kenyataan media.

Isu hangat ini timbul berikutan penstrukturan semula pelbagai fakulti bertujuan menjimatkan kos itu telah diumumkan oleh Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor di dalam ucapan beliau pada majlis makan malam ulangtahun ke-50 fakulti tersebut baru-baru ini.

Menurut Naib Canselor itu, entiti baharu tersebut akan dikenali sebagai Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Media.

Basree juga menegaskan mata pelajaran yang sepatutnya diberikan penekanan adalah yang berkaitan dengan sains sosial dan kemanusiaan.

“Kami amat mengalu-alukan jika satu sesi perbincangan dengan universiti dilakukan dahulu sebelum keputusan penggabungan dilakukan.

“Ahli Alumni Masscomm UiTM percaya ia dapat memberikan kefahaman mendalam betapa perlunya kita mengekalkan imej serta penjenamaan fakulti yang telah kita bina selama lebih lima dekad.

“Graduan kita telahpun membuktikan kemampuan mereka sebagai pemimpin industri di dalam bidang percetakan, penyiaran, periklanan, perhubungan awam, filem dan media sosial,” katanya lagi.

Tambah Basree lagi, dalam persekitaran di mana gejala salah maklumat (misinformation) berleluasa adalah penting para pelajar dilatih sebagai komunikator yang baik.”

“Walaupun pengajian komputer dan informasi itu sangat berfaedah, tetapi kepada para pelajar komunikasi ia adalah satu mata pelajaran teknikal yang hanya menjadi alat dalam penciptaan kandungan.

“Kebelakangan ini pengamal media telahpun menerimapakai penggunaannya. Ini adalah antara isu yang perlu diselesaikan, tegas Basree lagi.

Untuk tujuan ini, Alumni Masscomm merancang mengadakan perbincangan dengan UiTM bersama-sama pemegang taruh lain serta para wakil daripada pelbagai organisasi dalam industri. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close