Kedai RuncitPilihan Editor

Orang Ramai Digesa Berwaspada Guna ATM Kripto

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menggesa orang ramai agar berhati-hati terhadap penggunaan Mesin Juruwang Automatik Kripto (ATM Kripto).

ATM Kripto adalah mesin yang membolehkan individu membeli atau menjual aset digital secara tunai, kad debit, kredit atau e-dompet.

Mesin sedemikian ada di pelbagai lokasi di Malaysia dan membolehkan pertukaran pelbagai jenis aset digital dengan mata wang fiat dan sebaliknya.

SC dalam kenyataannya memberi peringatan kepada orang ramai bahawa entiti yang mengendalikan ATM Kripto dianggap mengendalikan Bursa Aset Digital (DAX) yang perlu berdaftar dengannya.

“Setakat ini, SC belum mendaftarkan mana-mana entiti untuk mengendalikan ATM Kripto,” katanya.

SC juga ingin mengingatkan bahawa orang awam yang berurusan dengan entiti atau individu yang tidak berlesen atau tidak sah adalah tidak dilindungi di bawah undang-undang sekuriti Malaysia dan terdedah kepada pelbagai risiko termasuk penipuan dan pengubahan wang haram.

SC turut memberi amaran kepada semua pengendali ATM Kripto yang tidak sah di Malaysia agar segera menghentikan aktiviti mereka.

SC berkata, mengendalikan DAX tanpa kebenaran daripada SC adalah suatu kesalahan di bawah undang-undang sekuriti Malaysia.

“Sesiapa yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Orang ramai boleh mengesahkan sekiranya pengendali aset digital didaftarkan dengan SC di https://www.sc.com.my/development/digital/digitalassets.

Selain itu, pelabur digalakkan agar memaklumkan SC jika mereka mendapati mana-mana aktiviti atau laman sesawang yang mencurigakan. – BERITA HARIAN

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close