Jenama tekstil dan pakaian terkemuka tempatan, Jakel, akan menganjurkan jualan besar-besaran ‘Crazy Sale’ buat kali pertama dengan tawaran diskaun antara 50 hingga 70 peratus, bermula 26 November hingga 2 Januari 2026, sempena sambutan ulang tahun ke-40 syarikat itu.
Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel, berkata penganjuran jualan itu sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan di seluruh negara yang terus memberikan sokongan sejak penubuhan syarikat itu empat dekad lalu.
Beliau berkata, selain menawarkan diskaun menarik, sebahagian hasil jualan ‘Crazy Sale’ akan dijadikan dana sumbangan bagi membantu golongan memerlukan termasuk asnaf dan keluarga kurang berkemampuan, sejajar dengan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu.
“Matlamat utama ‘Crazy Sale’ ini untuk menghargai pelanggan yang setia bersama kami selama ini. Kami juga mahu memberikan peluang kepada pelanggan mendapatkan pakaian dan kain berkualiti pada harga mampu milik menjelang musim perayaan Aidilfitri,” katanya.
Mohamed Faroz berkata, Jakel menyasarkan peningkatan jualan sekitar 15 peratus berbanding promosi tahun sebelumnya, dengan lebih empat juta pasang pakaian ditawarkan termasuk baju Melayu, baju kurung dan pakaian wanita serta kanak-kanak.
“Promosi ini juga bertujuan menarik pelanggan berkunjung ke kedai Jakel di setiap cawangan bagi menilai sendiri jenis kain dan mencuba pakaian pilihan mereka, berbanding hanya membeli secara dalam talian,” katanya.
Mohamed Faroz berkata, industri pakaian kekal relevan kerana pakaian tradisional seperti baju kurung dan baju Melayu masih mendapat sambutan tinggi, khususnya menjelang sambutan Aidilfitri.
“Pemakaian baju raya sedondon menjadi tradisi yang diraikan setiap tahun dan kepelbagaian corak serta warna menjadikan suasana perayaan lebih meriah,” katanya.
Menjelang musim perayaan, beliau berkata, kebanyakan pelanggan lazimnya membuat pembelian baju raya pada dua minggu terakhir sebelum Aidilfitri.
“Bagi memenuhi permintaan tinggi, cawangan Jakel Mall akan beroperasi sehingga jam 2 pagi pada dua minggu terakhir puasa.
“Pelanggan lebih cenderung membeli baju raya pada bulan Ramadan kerana sudah merasai suasana perayaan, namun ada juga pelanggan membeli lebih awal bagi mengelak kesesakan ketika memilih pakaian,” katanya.
Mengulas keunikan jenama itu, Mohamed Faroz berkata, Jakel memiliki lebih 60 pereka fesyen berkelulusan universiti awam dan swasta, termasuk daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Limkokwing University.
“Kami memberi keutamaan kepada graduan jurusan fesyen, tekstil dan pakaian bagi memberi peluang mereka mengembangkan bakat serta ilmu dalam industri ini.
“Rekaan pereka kami yang eksklusif dengan harga mampu milik ini dijual di semua 22 cawangan di seluruh Malaysia,” katanya.- BH ONLINE




