GovernansMalaysia

Pelaburan RM285.2b Bawa Manfaat Kepada Rakyat, Wujud Peluang Pekerjaan Berkualiti – PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pelaburan yang dibawa masuk oleh Kerajaan MADANI bukan sekadar memacu pertumbuhan ekonomi, sebaliknya diterjemahkan kepada manfaat sebenar untuk rakyat.

Perdana Menteri merujuk kepada prestasi Malaysia menarik pelaburan diluluskan berjumlah RM285.2 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2025, meningkat 13.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Anwar berkata, pelaburan itu berperanan penting dalam mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti dan meningkatkan pendapatan rakyat.

“Ia juga memperkukuh kesejahteraan hidup secara menyeluruh.

“Inilah komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan setiap pelaburan memberi pulangan kepada rakyat hari ini dan masa depan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Pada November lalu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam kenyataan memaklumkan pencapaian kukuh itu dicatatkan pada ketika ketegangan geopolitik dan perdagangan, gangguan rantaian bekalan serta keadaan monetari yang lebih ketat menjejaskan aliran pelaburan di kebanyakan pasaran lain, sekali gus menonjolkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 4,874 projek yang diluluskan merangkumi sektor pembuatan, perkhidmatan dan primer.

Ia berkata, kelulusan itu dijangka mewujudkan 152,766 peluang pekerjaan baharu, menggambarkan skala dan kepelbagaian sektor minat pelabur terhadap ekonomi Malaysia.

Selain itu, pelaburan asing (FI) melonjak 47.5 peratus tahun ke tahun, dengan peningkatan dalam ketiga-tiga sektor iaitu perkhidmatan (122 peratus), pembuatan (9.2 peratus) dan industri primer (56.6 peratus).

Bagi pelaburan diluluskan berpunca daripada sumber asing, Singapura menyumbang bahagian terbesar FI sebanyak RM52.7 bilion, diikuti China (RM35.8 bilion), Amerika Syarikat (RM11.3 bilion), British Virgin Islands (RM6.6 bilion) dan Jepun (RM4.8 bilion).

Johor merekodkan nilai pelaburan diluluskan tertinggi (RM91.1 bilion), diikuti Selangor (RM51.9 bilion), Kuala Lumpur (RM45.9 bilion), Pulau Pinang (RM23.7 bilion) dan Kedah (RM17.5 bilion). – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close