Pilihan EditorTwo Cents

KAKI BEDAL: Melahirkan Tenaga Pekerja Berilmu & Berkemahiran Tinggi Menerusi NTW 2023, Usaha Terpuji HRD Corp

Oleh Kaki Bedal

Minggu ini sahaja memperlihatkan rakyat Malaysia tertumpu perbahasan dan isu rakyat yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen di Dewan Rakyat bagi sidang  mesyuarat kedua.

Nun jauh di utara pula, bergema deruman lebih 70 pesawat milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang melintasi langit biru Langkawi pada 23 Mei (Selasa lalu) menjadi simbolik penyempurnaan pembukaan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23) sehingga 27 Mei bersamaan Sabtu hari ini.

Malahan hujung minggu ini, ibu kota Kuala Lumpur bakal digegarkan peminat buku sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang berakhir pada 6 Jun depan.

Sebenarnya yang paling menarik perhatian Kaki Bedal ialah penglibatan lebih 125,000 rakyat Malaysia yang mungkin mencecah 200,000 orang dalam minggu “National Week Training (NTW) 2023” yang dilaksanakan secara mega lagi percuma di seluruh negara bermula 22 Mei lalu sehingga 28 Mei 2023 ini (esok Ahad).

NTW 2023 adalah minggu latihan dan aktiviti di seluruh negara yang mengumpulkan organisasi serta individu dari pelbagai latar belakang dan industri untuk latihan dan pembangunan.

Inilah satu-satunya program pertama dalam negara ini (mungkin boleh masuk dalam Malaysia Book Of Records) di mana latihan dilaksanakan oleh individu dan organisasi tempatan di seluruh Malaysia dan ditawarkan secara percuma kepada semua rakyat Malaysia, secara intensif dan berfokus kerjaya terutama berteraskan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Inisiatif ini dilaksanakan oleh Human Resource Development Corporation (HRD Corp) yang disokong kuat oleh Kementerian Sumber Manusia di samping kolaborasi kementerian lain seperti Kementerian Pendidikan Tinggi, Kerajaan Negeri, agensi kerajaan dan swasta, individu, persatuan industri, akademik dan penyedia program dan latihan.

Kaki Bedal sangat kagum melihat jangkaan sebanyak 10,000 kursus secara percuma yang dibimbing 5,000 tenaga pengajar.

Malahan peserta dijangka dapat menyelesaikan lebih daripada 500,000 jam latihan secara kolektif dan penyedia latihan dapat menyampaikan nilai latihan lebih daripada RM250 juta secara percuma.

Harap benar program sebaik ini diadakan setiap tahun apatah lagi sangat memberi manfaat kepada tenaga kerja sedia ada, pekerja yang tidak berpeluang berkursus disebabkan majikan tidak menyediakan dana latihan atau pekerja yang tidak diberikan latihan yang relevan dengan persekitaran kehendak pekerjaan serta kelompok pekerja yang dberhentikan, lepasan graduan dan penganggur malahan suri rumah dan anak-anak di peringkat tadika pun ada pendedahan kursus yang sesuai untuk golongan muda ini.

Kaki Bedal juga setuju dengan CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) HRD Corp, Datuk Shahul Dawood bahawa latihan kemahiran akan bertambah mencabar dalam masa 30 tahun akan datang dengan adanya perubahan dalam bidang teknologi.

Kata peneraju HRD Corp itu lagi, sebelum ini latihan kemahiran hanya dilakukan secara konvensional yang tertumpu kepada pembelajaran dalam kelas tetapi disebabkan pandemik COVID-19, segala-galanya telah berubah dalam permintaan dan penawaran dunia pekerjaan.

Betullah kata orang tua-tua, setiap musibah itu ada kebaikannya, kerana akan datang dunia pekerjaan akan lebih mencabar dan sangat kreatif. Itu kata CEO HRD Corp malahan kata dia lagi, adalah penting untuk setiap individu mempunyai banyak kemahiran untuk bersaing dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar.

Kaki Bedal berharap HRD Corp terus komited dalam memastikan aspirasi dan jaminan pembangunan bakat di Malaysia kekal seiring dengan kehendak industri pekerjaan semasa dan rintang terhadap cabaran masa hadapan.

Menggalas tanggungjawab selaku agensi pusat bagi semua program pembangunan modal insan untuk seluruh warga Malaysia, HRD Corp setakat 30 April 2023 lalu menyaksikan pendaftaran sebanyak 84,000 majikan dengan melibatkan lebih 4.4 juta pekerja.

Kini kesedaran amat tinggi terhadap kepentingan latihan dan pembangunan modal insan dalam kalangan majikan ketika ini. Justeru, sekiranya mereka ingin mengekalkan bakat pekerja pada tahap terbaik, syarikat perlu melabur dalam pembangunan profesional mereka.

Kaki Bedal dah beritahu dulu bahawa Dana Pembangunan Sumber Manusia adalah penting.

Dengarnya ada kaji selidik dijalankan Randstad Workmonitor pada tahun 2022 lalu menunjukkan 97 peratus rakyat Malaysia berminat terhadap peluang dalam pembangunan dan pembelajaran serta kira-kira empat daripada lima responden melihat elemen latihan dan pembangunan sebagai sebahagian daripada proses kerjaya mereka.

Malah, hasil kajian dilaksanakan Bank Dunia turut menunjukkan satu peratus latihan kepada kakitangan bersamaan peningkatan tiga peratus produktiviti dalam kalangan majikan yang berdaftar dengan HRD Corp.

Ia memberi kesan positif dan manfaat yang baik kepada perniagaan.

Permintaan industri ketika ini telah berubah secara dramatik dan di peringkat global, sejak beberapa tahun lalu, lebih tertumpu kepada pendigitalan. Oleh yang demikian, pasaran memerlukan pekerja berkemahiran tinggi dan pelbagai.

Negara Malaysia sangat bertuah kerana mempunyai ekosistem latihan bakat yang berstruktur yang hanya ada di HRD Corp di mana kekal komited dalam meningkatkan serta memperkasakan ekosistem ini mengikut keperluan industri semasa.

  • Penulis ialah seorang pengamal media lebih 30 tahun dan pemerhati sosio-ekonomi dan kesejahteraan rakyat di negara.

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close