Pasaran kewangan Islam di Malaysia masih belum tepu dan mempunyai ruang untuk berkembang di sebalik langkah Kuwait Finance House KSCP (Kumpulan KFH) berundur dari pasaran Malaysia.
Pengerusi Majlis Kepimpinan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC), Tan Sri Azman Mokhtar, berkata setakat akhir tahun 2023, aset sistem perbankan Islam Malaysia telah mencapai 45.6 peratus dan dijangka akan mencecah 50 peratus dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi.
“Jika ditanya sama ada perbankan Islam di Malaysia telah tepu apabila terdapat beberapa bank Islam berundur dari Malaysia, jawapan saya ialah tidak.
“Kita perlu lihat pada data makro dan mikro secara keseluruhan, setakat akhir 2023, sistem perbankan Islam kita telah capai 45.6 peratus dari segi aset, malah akan cecah 50 peratus dalam setahun, dua ini lagi.
“Jika kita lihat (saiz) pasaran modal di Malaysia iaitu kira-kira RM3.9 trilion, dengan lebih 64 peratus daripadanya adalah patuh Syariah membabitkan sukuk dan ekuiti.
“Bank terbesar dari segi aset di Malaysia iaitu Maybank juga menyaksikan 69 peratus asetnya adalah patuh Syariah, jadi kadang-kala syarikat datang dan pergi, tetapi hala tuju kita adalah jelas,” katanya ketika ditemui pada Persidangan Pelaburan Shariah 2024 anjuran Bursa Malaysia dan CGS International Securities Malaysia di sini, hari ini.
Kumpulan KFH baru-baru ini mengumumkan langkah menghentikan operasi Kuwait Finance House (Malaysia) Bhd (KFHMB) di Malaysia selepas 19 tahun beroperasi.
Sementara itu Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid turut sependapat dengan menyatakan keputusan KFH itu tidak mencerminkan prestasi pasaran perbankan Islam di Malaysia.
“Pasaran kewangan Islam ini besar, apa yang berlaku di KFH ini adalah membabitkan bahagian perbankan. Kita tidak boleh cakap dengan hanya disebabkan satu pemain keluar, pasaran (perbankan Islam) kita sudah tepu.
“Sebenarnya pasaran ini kalau kita kaji sudah tiada sempadan. Maknanya syarikat dari segi eksport import sudah biasa, mungkin model perniagaannya yang berubah dari segi persaingan.
“Saya pernah katakan sebelum ini, ia semua adalah disebabkan persaingan, Jika anda (bank) tidak mendapat dana dari pasaran wang pada harga yang murah, jadi bagaimana mahu pinjamkan kepada pelanggan.
“Malah, margin pembiayaan juga sangat tipis. Singapura turut hadapi masalah sama yang mana margin semakin mengecil, mungkin disebabkan oleh faktor kemeruapan (overheat) sehingga menyebabkan masalah ini,” katanya. – BH ONLINE