Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyifatkan Belanjawan 2023 sebagai seimbang, dengan lebih penumpuan diberikan kepada soal rakyat
Bekas Menteri Kewangan II itu berkata, belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga memberi penekanan kepada kepentingan pendidikan, yang mana pelajar yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak boleh disekat daripada mendaftar subjek oleh pihak universiti.
“Secara keseluruhannya, Perdana Menteri lebih menumpukan kepada soal rakyat, dengan banyak perkara membabitkan soal rakyat, dari soal kehidupan pesawah, petani dan nelayan.
“Kemudian, beliau juga tekankan betapa pentingnya pendidikan sehinggakan mana-mana pelajar yang layak masuk universiti, oleh kerana tiada duit pendahuluan, universiti tidak boleh sekat pelajar daripada mendaftar.
“Saya lihat dalam konteks ini, beliau seimbang. Walaupun mahu menuju kepada subsidi bersasar, tapi dalam masa sama, beliau tekankan bahawa penjimatan yang diperoleh daripada subsidi bersasar itu akan dipulangkan semula kepada rakyat, khususnya yang dianggap B40,” katanya.
Beliau ditemui selepas pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.
“Pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) mengambil masa untuk diproses. Jadi, saya fikir, ini perkara utama yang kita perlu tolong sebab saya secara peribadi melihat mereka ini.
“Kadangkala sedih apabila melihat si ibu (perlukan) RM300 ke RM400 untuk (anak) masuk ke universiti tapi tiada duit dan disebabkan masalah itu, ada sesetengah daripada mereka yang menolak tawaran dan tidak mahu mendaftar,” katanya. – BH ONLINE