MalaysiaPilihan Editor

Kecemerlangan Luar Biasa Imtiaz Ulul Albab Daripada Yayasan Akal Budi Yang Diasaskan Mantan TPM, Zahid Hamidi, Mendapat Perhatian Kerajaan Melaka

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

 

Kecemerlangan duniawi dan ukhrawi !

Ramai pelajar cemerlang dari aspek agama, al-Quran dan akademik berjaya dilahirkan sejak ditubuhkan lapan tahun lalu, itulah Sekolah Menengah Imtiaz Ulu Albab Melaka di Masjid Tanah, Melaka.

Atas kecemerlangan luar biasa itu, Kerajaan Melaka menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bersetuju melalui Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang akan membiayai kos operasi sekolah berkenaan berasaskan kejayaannya mengeluarkan pelajar cemerlang dari aspek agama, al-Quran dan akademik.

Bermotokan “From the best school to the best centre to the world’s best universities”,  kerajaan Melaka melahirkan keyakinan tinggi bagi mengambil alih pentadbiran, termasuk pembiayaan kewangan SM Imtiaz Ulul Albab daripada Yayasan Akal Budi yang diasaskan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, kerajaan negeri tidak akan melepaskan sekolah berkenaan kepada Kementerian Pendidikan untuk dijadikan Sekolah Bantuan Penuh Kerajaan (SBPK), sebaliknya kekal dengan kurikulumnya sendiri yang sudah dipraktikkan sejak ia ditubuhkan kira-kira empat tahun lalu.

“Sekolah ini berjaya melahirkan pelajar cemerlang dari pelbagai aspek dan amat sayang kalau kita tidak menjaganya.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sudah membincangkan perkara ini dan kami setuju supaya MAIM dan JAIM mengambil alih pertadbiran dan segala aspek berkaitan pembiayaan operasi sekolah ini,” katanya ketika ditemui selepas Program Khas Asasi Ulul Albab 2020 sekolah itu di Durian Daun, Masjid Tanah, Melaka.

Pelajar tingkatan satu, Aniq Darwisy Mohd Zaini dipilih sebagai Tokoh Ulul Albab manakala tiga pelajar dipilih sebagai penerima Tokoh al-Quran, Tokoh Bahasa Arab dan Tokoh Personaliti.

Sulaiman berkata, meskipun ibu bapa pelajar terbabit yang kebanyakan mereka adalah golongan profesional ada membayar yuran bulanan, ia tidak cukup untuk membiayai kos operasi.

“Selepas meneliti implikasi kewangan kos berkenaan ke atas MAIM dan JAIM, kerajaan negeri bersetuju mengambil alih sekolah itu bagi memastikan ia mampu melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang yang seimbang dari aspek kejayaan akademik dan agama, terutama mereka yang huffaz al-Quran,” katanya.

Sementara itu, pengasas SM Imtiaz Ulul Albab yang juga Pengerusi Lembaga Pengurusan Imtiaz, Ahmad Zahid melahirkan rasa bersyukur di atas pengambilalihan pentadbiran dan pembiayaan kewangan sekolah berkenaan sebagai satu langkah yang sangat proaktif.

“Saya percaya jangan kita jadikan setiap kelemahan atau kekurangan itu sebagai satu masalah tetapi hendaklah dijadikan sebagai satu pemangkin untuk terus maju ke depan.

“Saya yakin masa depan sekolah ini sebagai “best school of the world” dapat dicapai kelak,” kata Ahmad Zahid lagi.

Hadir sama ialah isteri Ahmad Zahid yang juga salah seorang Ahli Lembaga Pengurusan Imtiaz, Datin Seri  Hamidah Khamis; Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat; Pengerusi Ulul Albab, Datuk Hisham Abdul Majid dan Pengetua sekolah itu, Azharizan Yaacob.

Sekolah berkenaan mempunyai 241 pelajar tingkatan satu hingga lima yang mengikuti kurikulum khas dalam bidang akademik, hafazan al-Quran dan agama. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button
Close