Ekonomi Islam & GlobalPilihan Editor

Malaysia Hos Forum Kewangan Islam Global 2022

Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) akan menganjurkan Forum Kewangan Islam Global 2022 (GIFF2022) pada 5 dan 6 Oktober depan.

Forum dwitahunan yang bertemakan ‘Take the Reins’ itu bakal menghimpunkan cendekiawan, peneraju serta perintis pembaharuan dalam industri untuk membincangkan isu, peluang dan tindakan yang perlu diambil bagi memperkukuhkan kewangan Islam sebagai peneraju di persada dunia.

“Ahli panel akan berkongsi sudut pandangan Syariah berkenaan aset metaverse, mata wang kripto, kelestarian dan teknologi, pewujudan zakat, sedekah dan wakaf bergerak; pemimpin wanita dalam kewangan Islam; serta peluang pelaburan halal yang sedang berkembang pesat,” kata AIBIM dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut persatuan itu, Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus akan menyampaikan ucap tama pada forum itu yang diadakan di sini.

“Antara penceramah utama termasuklah pakar kewangan kanan Bank Dunia, Fredes Montes; Rakan Kongsi Oliver Wyman, Dan Jones; Pengurus Besar Monzo, Jordan Shwide; Pengerusi Innate Capital Partners/Penasihat PBB bagi Kewangan Islam, Aamir Rehman dan Ketua Pegawai Eksekutif mmob, Irfan Khan,” katanya.

AIBIM berkata dua sesi istimewa akan diadakan semasa forum itu: ceramah umum oleh penerima Anugerah Diraja bagi Kewangan Islam 2022, dan sembang santai bersama Tan Sri Azman Mokhtar, mengenai masa depan kewangan Islam.

“Pada masa ini, lebih banyak negara menjadikan ekonomi Islam sebahagian daripada dasar utama untuk pemulihan negara. Selain itu, pandemik ini telah mempercepatkan pendigitalan bagi mendorong penyertaan dari segi kewangan,” kata Pengerusi GIFF2022, Arsalaan Ahmed.

Perubahan penting ini, katanya, ditambah pula dengan pertumbuhan kukuh dalam kewangan Islam menekankan betapa besarnya pengaruh dan potensi komuniti Islam untuk meneraju dan membina dunia yang lebih seimbang, mengutamakan inklusiviti dan kelestarian.

“Sejajar dengan perkembangan global dan Pelan Induk Sektor Kewangan Malaysia 2022-2026 yang menyasarkan untuk memajukan kewangan berasaskan nilai melalui kepimpinan pemikiran dalam kewangan Islam, GIFF2022 akan menumpukan kepada peningkatan keutuhan industri ini untuk memenuhi keperluan ekonomi, sosial dan alam sekitar yang semakin berkembang pesat bagi memperkukuh kepimpinan kewangan Islam di persada dunia,” kata Arsalaan.

Kewangan Islam mencatatkan pemulihan kukuh dalam separuh pertama 2021 dengan aset kewangan Islam dianggarkan bernilai AS$3.6 trilion dan dijangka mencecah AS$4.9 trilion pada 2025.

Malaysia kekal menjadi pemimpin global dalam kewangan Islam dan berada di tangga teratas antara 81 negara dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global bagi tahun kesembilan berturut-turut

Pautan pendaftaran bagi GIFF2022 boleh didapatkan di www.giff-aibim.com. -BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close