Duniaku TeknokratGovernansPilihan Editor

ROMBAKAN KABINET: Siapa Amir Hamzah Azizan?

Dalam senarai Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini, terselit satu nama yang tidak begitu dikenali dalam kalangan orang politik atau rakyat biasa.

Nama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Amir Hamzah Azizan, tiba-tiba mencuri tumpuan apabila dia dilantik memegang jawatan penting sebagai Menteri Kewangan II dalam rombakan Kabinet bergandingan dengan Anwar sebagai Menteri Kewangan.

Terdahulu, Amir Hamzah mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Parlimen.

Menurut BERNAMA, kini beliau merupakan teknokrat kedua di Kementerian Kewangan yang mempunyai latar belakang korporat selepas bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang pernah berkhidmat sebagai CEO Kumpulan dan Pengarah Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd dari 27 Feb, 2015 hingga 9 Mac, 2020.

Beliau menyertai MISC Bhd pada 2000, dan memegang beberapa portfolio pengurusan kanan sebelum dilantik sebagai Presiden dan CEO pada Januari 2009.

Pada Jun 2010, beliau dilantik sebagai Pengarah Urusan dan CEO Petronas Dagangan Bhd.

Pada Ogos 2012, Amir Hamzah menyertai Petronas Lubricants International sebagai Pengarah Urusan dan CEO Kumpulan, serta pada masa sama berkhidmat sebagai Naib Presiden (VP) bagi Pemasaran Hiliran, dan seterusnya sebagai Naib Presiden Minyak Pelincir bagi Petronas Group.

Pada Mac 2016, beliau menyertai Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) untuk mengemudi syarikat penerima pelaburan, Icon Offshore Bhd sebagai Pengarah Urusan dan CEO.

Amir Hamzah kemudian dilantik sebagai CEO Themed Attractions Resorts and Hotel Sdn Bhd, anak syarikat Khazanah Nasional Bhd, sebelum menyertai TNB pada April 2019.

Kini, beliau juga Pengerusi Bukan Eksekutif Malaysian Resources Corporation Bhd, dan juga menganggotai lembaga pengarah Sime Darby Plantation Bhd dan Sime Darby Oils International Ltd.

Amir Hamzah memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pengurusan (pengkhususan dalam Kewangan dan Ekonomi) dari Syracuse University, New York, Amerika Syarikat.

Beliau juga telah menyertai Program Eksekutif Stanford di Stanford University dan Program Kelas Malam Kewangan Korporat di London Business School.

 

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close