GovernansPilihan Editor

Malaysia Tekankan Rancangan Pemulihan Ekonomi Di Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN-Rusia

Malaysia menekankan dua aspek penting pada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN-Rusia mengenai COVID-19 hari ini iaitu rancangan pemulihan ekonomi yang komprehensif dan pembangunan vaksin.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata dalam usaha memulihkan ekonomi masing-masing, negara anggota ASEAN juga perlu berganding dengan Rusia untuk membawa pulangan yang positif.

“Kalau gandingan ini dapat dilihat sebagai satu kekuatan untuk kita di ASEAN, tidak ada sebab kuasa besar atau perkumpulan antarabangsa, sama ada dari Timur Tengah, Eropah atau kuasa global untuk tidak melihat ASEAN selepas pemulihan ekonomi pasca-COVID-19 sebagai rakan kongsi berpotensi untuk mara ke depan,” katanya.

Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat yang diadakan menerusi persidangan video di Wisma Putra di sini hari ini, Hishammuddin berkata mesyuarat itu membuktikan negara-negara kecil di ASEAN juga dapat berdiri sama tinggi dengan negara kuasa besar.

Dalam ucapannya pada mesyuarat itu,  Hishammuddin berkata perkumpulan ASEAN dengan jumlah populasi lebih 650 juta orang mempunyai keluaran dalam negara kasar tergabung berjumlah US$2.8 trilion selain menjadi hab penting bagi perdagangan global dengan nilai dagangan transit melebihi US$3.4 trilion setiap tahun.

“Kami di ASEAN sedang membangunkan Pelan Pemulihan Ekonomi ASEAN, menumpukan bukan sahaja pada aspek kewangan negara kami tetapi juga jaringan keselamatan sosial, jaminan makanan serta pendidikan untuk semua.

“Bagaimanapun, disebabkan kesejagatan dunia, ekonomi kita saling berkait antara satu sama lain,” katanya.

Hishammuddin berkata beberapa negara di  ASEAN telah menunjukkan perkembangan positif dalam menangani pandemik COVID-19 dan secara terbuka mengumumkan tentang potensi perjalanan dalam kalangan “negara-negara hijau” yang merupakan kaedah terbaik untuk memulakan semula ekonomi serantau.

Mengenai pembangunan vaksin COVID-19, Hishammuddin berkata masyarakat dunia sedang berbincang tentang pelan untuk mengembalikan negara masing-masing ke landasan.

“Bagaimanapun, kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan vaksin harus diutamakan oleh ASEAN dan Rusia bagi memastikan nyawa dapat diselamatkan,” katanya.

Selain itu katanya pengeluaran vaksin juga harus berlandaskan kerjasama antarabangsa, bukan bersifat persaingan antara negara.- BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close