Analisis berita oleh N.Intan Rafeena
Tidak sangka sebenarnya ramai rakyat Malaysia dahagakan ilmu baharu, malahan mencari-cari latihan dan teknik terkini terutama berkaitan dunia pendigitalan yang menjadi sebahagian kehidupan dan pekerjaan sekarang.
Sambutan luar biasa itu diterjemahkan menerusi program mega selama seminggu National Training Week (NTW) 2023 yang telah berlangsung dari 22 hingga 28 Mei lalu.
Tabik spring kepada Kementerian Sumber Manusia di bawah pimpinan Menterinya, V Sivakumar yang cakna dengan setiap lapisan rakyat Malaysia yang inginkan penambahan ilmu dan kemahiran menerusi latihan dan kursus yang dianjurkan secara percuma.
Ini suatu komitmen yang luar biasa lagi berani. Terima kasih juga oleh rakyat Malaysia terutama 129,312 peserta kepada HRD Corp di bawah Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahul Dawood yang begitu kompeten, bergerak aktif ke seluruh negara dalam memastikan NTW 2023 mencapai jangkauan sasarannya.
Agak menarik sepanjang NTW 2023, kursus berkaitan kemahiran digital mendapat sambutan luar biasa.
Kursus berkenaan paling popular ditawarkan sepanjang NTW 2023 adalah Embracing Digital Opportunities, Analysing Data with Tables & Charts in Excel for the Web, AI for Marketing, Social Media Marketing dan Critical Thinking Skills for Professionals.
Ia juga menunjukkan minat rakyat Malaysia terhadap bidang ilmu dan kemahiran, terutama sekali kemahiran teknikal digital.
Teringat penulis apabila CEO HRD Corp dalam satu temubual berpandangan bahawa latihan kemahiran akan bertambah mencabar dalam masa 30 tahun akan datang dengan adanya perubahan dalam bidang teknologi.
Pandangan itu selari dengan Menteri Sumber Manusia yang turut menjelaskan bahawa Kerajaan akan terus berusaha untuk merapatkan jurang kemahiran di samping meningkatkan kemahiran digital rakyat Malaysia, selaras dengan perubahan pesat dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) pada masa kini.
Atas kesungguhan semua pihak bagi program NTW 2023, maka jangkauan sasaran memperlihatkan sasaran yang tinggi untuk menawarkan 5,000 kursus kepada 125,000 peserta yang akan melengkapkan 500,000 jam latihan pada awalnya namun di penghujung program tersebut, penyediaan kursus telah melebihi empat kali ganda iaitu sebanyak 21,473 manakala jumlah penyertaan adalah sebanyak 129,312 dengan 503,572 jam latihan telah dilengkapkan.
Berdasarkan laporan lanjut, Selangor telah menawarkan bilangan kursus terbanyak dengan 36.3 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Ini diikuti oleh Kuala Lumpur dengan 17.3 peratus, manakala Johor dan Sabah berada di tempat ketiga dengan kedua-dua negeri menawarkan 6.5 peratus daripada jumlah kursus keseluruhan sepanjang NTW 2023.
Selain itu, 44.7 peratus daripada kursus yang ditawarkan adalah kursus dalam talian jarak jauh. Ini diikuti dengan kursus secara fizikal atau face-to-face sebanyak 39.6 peratus dan e-learning sebanyak 10.5 peratus
Meskipun rakan kolaborasi dan penyedia kursus NTW menawarkan kursus dalam pelbagai bidang kemahiran, kursus berdasarkan pendidikan & latihan adalah kursus yang paling popular dengan merangkumi 17.8 peratus jumlah kursus.
Ini diikuti kursus kemahiran insaniah atau soft skills dengan 10.1 peratus manakala kursus berdasarkan teknologi maklumat merekodkan sebanyak 8.0 peratus.
Sudah tentu Sivakumar dan kementerian sangat berpuas hati di atas jangkaun semua sasaran yang ditetapkan.
Kata menteri, pencapaian ini semestinya adalah hasil usaha semua rakan kolaborasi dan agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia, terutama sekali HRD Corp.
Ini adalah sesuatu yang patut diterapkan dalam diri setiap rakyat Malaysia, selaras dengan usaha kita untuk mewujudkan bakat dan tenaga kerja yang tangkas dan dinamik untuk jangka panjang.
NTW 2023 adalah minggu latihan dan aktiviti percuma yang dijalankan di seluruh negara.
Ia menghimpunkan organisasi dan individu dari pelbagai latar belakang. Program latihan yang ditawarkan sepanjang minggu ini menyasarkan rakyat Malaysia dari pelbagai peringkat umur, bermula dari kanak kanak pra-sekolah sehingga warga emas.
Harap benar seperti mana yang diperkatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerajaan Pusat bersedia untuk menambah peruntukan bagi pelaksanaan program NTW 2024 pula daripada RM250 juta ketika ini kepada RM500 juta.
Yang penting kata Timbalan Perdana Menteri, Kementerian Sumber Manusia dan HRD Corp perlu menjalankan kajian bagi mengenal pasti padanan antara latihan yang diterima pekerja dengan peningkatan produktiviti dan keuntungan yang direkodkan syarikat. – BACALAHMALAYSIA.MY