oleh wartawan BacalahMalaysia.my
Yang penting adalah usaha pulihkan ekonomi !
Seterusnya menjana peluang pekerjaan !
Semua tindakan ini perlu diambil bagi membantu golongan yang terkesan oleh COVID-19.
Itu adalah langkah pro-aktif yang diambil dan diarahkan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Menteri dan Timbalan Menteri di bawah payung BN.
“Semua Menteri dan Timbalan Menteri (BN) telah diminta mengambil tindakan menerusi kementerian masing-masing dalam usaha memulihkan ekonomi dan menjana peluang pekerjaan terutamanya golongan yang terkesan oleh COVID-19.
“Fokus UMNO ketika ini adalah untuk memastikan isu-isu berkaitan kebajikan dan kepentingan rakyat yang semakin tertekan dalam menghadapi bebanan hidup pasca COVID-19,” tegas Ahmad Zahid dalam satu kenyataan media.
Presiden UMNO juga memaklumkan bahawa arahan telah dikeluarkan kepada ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN untuk mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, daripada terus diganggu-gugat oleh pihak pembangkang.
Katanya, UMNO ketika ini memberi keutamaan kepada Sidang Dewan Rakyat yang akan bermula pada 13 Julai 2020.
“UMNO sedar terdapat usaha giat dilakukan untuk menggugat kedudukan YAB Perdana Menteri oleh pihak-pihak yang mahu merebut jawatan berkenaan.
“Justeru, UMNO tidak seharusnya terheret sama dalam polemik perbahasan mengenai calon Perdana Menteri.
“Malah tumpuan harus diberikan kepada usaha untuk menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat,” kata Ahmad Zahid. – BACALAHMALAYSIA.MY