Pengendali rangkaian kedai serbaneka, MyNews Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bagi suku keempat berturut-turut, sebahagiannya dibantu oleh margin keuntungan yang bertambah baik dan bahagian keuntungan yang lebih tinggi dalam entiti dikawal bersama.
Syarikat itu melaporkan keuntungan bersih RM2.63 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Julai 2024, berbanding kerugian bersih RM2.16 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Hasil meningkat 11.67 peratus kepada RM207.47 juta daripada RM185.79 juta, menurut makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
“Faktor penyumbang kepada prestasi yang lebih baik termasuk peningkatan bilangan cawangan daripada 593 kepada 606, peningkatan jualan dalam kedai disebabkan oleh gabungan produk yang lebih baik dan penambahbaikan operasi,” kata MyNews.
Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai (termasuk susut nilai aset hak guna), dan pelunasan (EBITDA) meningkat kepada RM28.29 juta, berbanding RM21.45 juta pada suku yang sama.
Walau bagaimanapun, pendapatan telah diimbangi sebahagiannya oleh perbelanjaan pentadbiran yang lebih tinggi, yang meningkat 19.1 peratus tahun ke tahun, selain perbelanjaan jualan dan pengedaran, yang meningkat 6.8 peratus tahun ke tahun.
Perbelanjaan lain juga meningkat sebanyak 8.7 peratus, sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan susut nilai aset hak guna dan hapus kira hartanah, kilang dan peralatan.
Ia mengisytiharkan dividen interim sebanyak 0.5 sen sesaham, berjumlah RM3.75 juta bagi suku dalam tinjauan.
Berbanding suku kedua tahun kewangan 2024, keuntungan bersih kumpulan melonjak 51.73 peratus berbanding RM1.73 juta, manakala hasil meningkat 7.62 peratus daripada RM192.77 juta.
Bagi sembilan bulan berakhir 31 Julai 2024, MyNews mencatatkan keuntungan bersih RM5.62 juta, berbanding kerugian bersih RM11.65 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Hasil kumulatif untuk tempoh berkenaan meningkat 9.5 peratus kepada RM595.75 juta daripada RM544.08 juta.
Mengenai prospek, MyNews menyatakan bahawa jenama runcitnya, CU baru-baru ini berkembang ke Pantai Timur Semenanjung Malaysia, membuka empat cawangan di Pahang, satu di Terengganu dan empat di Kelantan.
Pada masa yang sama, pembukaan kedai baharu di bahagian lain di negara ini sedang berjalan, manakala kedai sedia ada ditambah baik dan dirombak apabila perlu, katanya.
Sehingga kini, jumlah kedai MyNews berjumlah 631, terdiri daripada 476 cawangan myNEWS (termasuk 34 lokasi SUPERVALUE), 135 kedai CU dan 20 cawangan WHSmith. – BH ONLINE