Keputusan pertama kabinet kerajaan Buruh baharu New Zealand yang dibuat pada Isnin akan memberikan sokongan yang lebih kuat kepada perniagaan kecil di negara ini sebagai sebahagian daripada usaha untuk mempercepat pemulihan ekonomi akibat pandemik COVID-19, lapor agensi berita Xinhua.
“Kabinet hari ini memutuskan untuk melanjutkan skim itu, yang akan tamat pada akhir tahun, hingga 31 Disember 2023 dan memperpanjang tempoh tanpa faedah dari satu tahun menjadi dua tahun,” kata kerajaan dalam satu kenyataan.
Menyokong perniagaan kecil dengan memberikan pinjaman tanpa faedah akan “menyediakan peluang yang lebih besar, menyokong keyakinan dalam sektor ini dan membantu mempercepat pemulihan ekonomi kita,” kata Perdana Menteri Jacinda Ardern dalam ucapan selepas mesyuarat kabinet.
“Pemulihan daripada COVID tidak akan berakhir pada Disember dan begitu juga dengan skim tersebut,” katanya, sambil menambah, “Perniagaan yang berbeza mungkin memerlukan skim itu pada waktu yang berlainan, jadi ia penting sebagai sokongan untuk mereka bangkit kembali jika keadaan semakin sukar.
Ardern berkata jangka masa tanpa faedah yang dilanjutkan dapat memberikan bantuan aliran tunai kepada perniagaan.
“Pemulihan ekonomi daripada COVID adalah keutamaan bagi kerajaan dan menyokong perniagaan kecil adalah teras pemulihan kita,” katanya.
Kabinet baharu New Zealand mengangkat sumpah secara rasmi pada Jumaat. –BERNAMA