Malaysia dan China akan mengukuhkan lagi kerjasama dalam rantaian bekalan, inovasi teknologi dan pengembangan pasaran minyak sawit tahun ini, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin.
Beliau berkata, kedua-dua negara juga akan bekerjasama untuk mempertingkatkan industri dan mengembangkan nilai penggunaan minyak sawit dalam makanan, produk penjagaan peribadi mewah, farmaseutikal, dan tenaga boleh baharu.
“Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sedang memperkukuh kerjasama dengan universiti, institusi penyelidikan, dan syarikat di China bagi usaha ini terutama dalam penyelidikan dan pembangunan serta transformasi pasaran.
“Usaha sama kita sedang membangunkan minyak sawit makan yang lebih berkhasiat, produk penjagaan peribadi yang lebih sihat, dan biobahan api lebih mesra alam, memastikan semua inovasi ini dapat memasuki pasaran dengan cepat,” katanya di sini.
Beijing Heyirong Invest Group ialah antara pengimport terbesar minyak sawit dalam kalangan syarikat tempatan China, dengan jumlah import tahunan 300,000 tan olein sawit ditapis, diluntur dan dinyahbau (RBD) serta stearin sawit RBD.
Foong Hin berkata, melalui pembangunan bersama dengan kalangan syarikat pemprosesan makanan, barang pengguna cepat laris (FMCG), dan tenaga boleh baharu China, kementerian menyasar untuk mempercepat pengkomersialan produk minyak sawit bernilai tinggi, membolehkan pengguna China menikmati produk minyak sawit berkualiti tinggi dengan lebih cepat.
“Malaysia tetap komited untuk menyediakan bekalan yang stabil dan berkualiti tinggi kepada syarikat China. Pemimpin perniagaan yang hadir hari ini adalah penggerak utama pertumbuhan perdagangan minyak sawit Malaysia-China.
“Oleh itu, kami berharap dapat meningkatkan lagi kerjasama rantaian bekalan, sama ada dalam strategi pemerolehan jangka masa panjang atau promosi jenama dalam pasaran pengguna China, dengan bekerjasama untuk meluaskan penggunaan produk minyak sawit di seluruh China,” katanya.
Foong Hin memetik laporan mengenai minyak sawit berkata pada 2024, nilai eksport minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit Malaysia ke China mencecah RM10.57 bilion.
“Antara ini, jumlah eksport minyak isirung sawit mencatatkan peningkatan ketara iaitu 40 peratus, yang kebanyakannya dibekalkan kepada industri oleokimia China untuk menghasilkan surfaktan. Kami amat menghargai sokongan jangka masa panjang daripada industri minyak dan lelemak China,” katanya. -BERNAMA




