Duniaku TeknokratMalaysiaPilihan Editor

OPR Dijangka Kekal Sepanjang Tahun Bagi Sokong Ekonomi Malaysia – SME Bank

Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus sepanjang 2026, sekali gus menyediakan persekitaran monetari yang stabil bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

SME Bank dalam Laporan Unjuran Ekonomi Malaysia 2026 yang diterbitkan hari ini mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang sebanyak 4.3 peratus walaupun berdepan ketidaktentuan global yang semakin meningkat.

Menurut laporan berkenaan, momentum pertumbuhan domestik dijangka kekal berdaya tahan, disokong oleh aktiviti perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta sokongan dasar yang berterusan.

“Faktor-faktor ini dijangka dapat mengurangkan kesan faktor luaran yang berpunca daripada peningkatan perlindungan perdagangan dan ketegangan geopolitik global.

Menurutnya, SME Bank diamanahkan untuk melaksanakan hampir RM2 bilion inisiatif strategik nasional bagi menyokong peningkatan skala PMKS, penerapan teknologi serta peningkatan produktiviti merentasi sektor keutamaan.

“Ini selaras dengan Rangka Kerja Pengukuran Prestasi BNM dan kerangka Ekonomi MADANI dalam memperkukuh kedudukan kewangan, meningkatkan produktiviti dan mempertingkat daya saing seiring kemajuan Malaysia ke arah pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sektor perkhidmatan dijangka menjadi penyumbang utama yang menyokong pertumbuhan keseluruhan, dipacu oleh penggunaan isi rumah yang berdaya tahan hasil dasar monetari dan fiskal yang positif, termasuk peningkatan peruntukan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta pelaksanaan pelarasan gaji penjawat awam Fasa 2, yang dijangka membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup dan mengekalkan perbelanjaan pengguna.

Sektor pembuatan berdepan pendedahan tarif yang lebih tinggi memandangkan 67.1 peratus Indeks Pengeluaran Perindustrian adalah berorientasikan eksport, sekali gus meningkatkan kerentanan terhadap kejutan permintaan luaran dan perkembangan dasar perdagangan.

Aktiviti pembinaan pula dijangka kembali ke paras yang lebih sederhana selepas dua tahun pertumbuhan luar biasa pasca pandemik yang dipacu oleh projek infrastruktur dan sektor swasta.

Sektor perlombongan dijangka kekal rendah, dipengaruhi oleh permintaan yang sederhana daripada ekonomi pengimport utama serta penurunan harga minyak mentah global.

Sementara itu, Ketua Analisis Ekonomi SME Bank, Mazlina Abdul Rahman, berkata inflasi dijangka meningkat secara sederhana kepada 1.7 peratus pada 2026 dan kekal pada paras yang terkawal.

Katanya, inflasi keseluruhan mencatat purata 1.4 peratus tahun ke tahun bagi 11 bulan pertama 2025, lebih rendah berbanding 1.9 peratus dalam tempoh yang sama pada 2024, sebelum meningkat sedikit bermula Julai 2025 susulan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke sektor perkhidmatan tambahan, barangan tidak keperluan terpilih serta pelarasan tarif utiliti.

“Dalam tempoh akan datang, harga minyak mentah Brent yang lebih rendah, jangkaan pengukuhan nilai ringgit berbanding purata 2025 serta tiada pelaksanaan penstrukturan semula subsidi bahan api pada tahun ini dijangka membantu mengekang tekanan inflasi,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close