Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun bermula 31 Januari 2024.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial dalam kenyataan berkata pemilihan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara hari ini.
Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan pada 30 Januari tahun depan.
Syed Danial berkata, Majlis Raja-Raja turut mengisytiharkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.
“Menurut peruntukan Paragraf 3, Bahagian Pertama, Jadual Ketiga Perlembagaan, keputusan Majlis Raja-raja ini sudah dikemukakan kepada kedua-dua Dewan Parlimen. Perdana Menteri turut dimaklumkan,” katanya.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultan Aminah, Johor Bahru.
Baginda adalah anak sulung hasil perkahwinan Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail dan Almarhumah Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah.
Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981 dan mendirikan rumah tangga bersama Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah pada 22 September 1982 serta dikurniakan enam cahaya mata iaitu lima putera dan seorang puteri.
Pada 25 April 1984 hingga 25 April 1989, Baginda dilantik sebagai Pemangku Raja semasa Almarhum Sultan Iskandar diangkat sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010 selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar, dan dimahkotakan pada 23 Mac 2015.
Mengenai pendidikan Sultan Ibrahim, Baginda mula mendapat pendidikan awal di Taman Didikan Kanak-Kanak Tunku Ampuan Mariam, Johor Bahru sebelum memulakan pendidikan di Sekolah Temenggong Abdul Rahman (1) Johor Bahru.
Baginda kemudian melanjutkan pelajaran di Trinity Grammar School, Sydney, Australia pada tahun 1968 hingga 1970 dan meneruskan pelajaran menengah di English College (Maktab Sultan Abu Bakar) dari tahun 1971 hingga 1975.
Baginda turut mendapat pendidikan agama di Sekolah Agama Ayer Molek, Johor Bahru.
Kepimpinan Baginda terserlah selepas melibatkan diri dalam aktiviti ketenteraan yang turut dijadikan asas bagi membina semangat juang, disiplin serta perwatakan yang berwibawa.
Baginda mula menjalani latihan ketenteraan di Pusat Latihan Tentera Darat (PULADA) di Kota Tinggi dan dilantik sebagai platun komander sebelum mengikuti latihan ketenteraan pegawai muda di Fort Benning, Georgia, Amerika Syarikat. Baginda juga menjalani latihan airborne dan ranger untuk pegawai infantri.
Semangat ketenteraan yang tinggi mendorong Sultan Ibrahim meneruskan latihan American Special Forces dan Pathfinder di mana, Baginda membuat 19 terjunan payung terjun, lapan daripadanya pada waktu malam.
Baginda kemudian dipilih dan ditauliahkan sayap seterusnya mendapat pengiktirafan sebagai seorang komando. Lebih membanggakan, Sultan Ibrahim turut ditauliahkan sebagai anggota pasukan SEAL (tentera darat, laut dan udara).
Sultan Ibrahim turut melakukan beberapa penerjunan di Bandung, Indonesia sebelum ditauliahkan sebagai ahli kehormat Komando Pasukan Khusus (KOPASSUS), Indonesia.
Baginda juga menjalani latihan juruterbang helikopter bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan dikurniakan serta menerima sayap pada 26 April 1982 daripada Almarhum Sultan Iskandar.
Baginda turut menjalani latihan tentera laut di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di Lumut, Perak sekali gus melengkapkannya sebagai pegawai tentera darat, laut dan udara yang berkemahiran.
Bagi mengimbangi latihan ketenteraan dan menjadi seorang Raja yang berwibawa dan dihormati, Baginda meneruskan pelajaran di Fletcher School of Law and Diplomacy di Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat dengan melengkapi dua kursus iaitu ‘Southeast Asian Strategic Studies’ dan ‘International Law of the Seas’.
Sultan Ibrahim juga pernah berkhidmat dengan Kerajaan Negeri Johor dan ditempatkan di pelbagai jabatan bagi mempelajari aspek pengurusan serta pentadbiran negeri. – BH ONLINE/BACALAHMALAYSIA.MY