Two Cents

PANDANGAN: Prestasi Ekonomi Malaysia Sangat Baik Tahun Ini – Oxford Economics

Ketahanan ekonomi Malaysia dijangka berterusan tahun depan, namun diunjur mencatat pertumbuhan lebih rendah berbanding tahun ini, demikian menurut Oxford Economics.

Ahli ekonominya, Sheana Yue, berkata ekonomi Malaysia berkembang sangat baik tahun ini dengan mencatatkan pertumbuhan 5.6 peratus yang mengejutkan pihaknya dan kebanyakan penganalisis.

Namun, katanya prestasi ekonomi tahun depan dijangka tidak sekuat tahun ini dengan pertumbuhan diunjurkan perlahan kepada 4.3 peratus.

“Tetapi, ini sebahagian besarnya mencerminkan kesan asas yang berubah. Momentum kelihatan kekal kukuh, mengelak bank pusat daripada melonggarkan dasar monetari.

“Walaupun begitu, kedudukan Malaysia pada rantaian bekalan cip di bahagian bawah menunjukkan puncaknya akan tiba lebih lambat dan kemerosotan akan kurang ketara,” katanya dalam satu laporan penyelidikan.

Beliau berkata, Malaysia mengeksport sedikit produk daripada industri yang ingin dilindungi Trump dengan sektor elektronik dan elektrik adalah risiko terbesar.

Namun, katanya sehingga AS berjaya memindahkan kebanyakan proses pengeluarannya ke dalam negara, ia masih perlu bergantung pada ekonomi yang mesra seperti Malaysia.

“Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin menongkah trend pelonggaran global pada 2025. Ringgit telah menghadapi tekanan baharu yang dijangka berterusan dalam persekitaran dolar AS yang kukuh.

“Tekanan inflasi mungkin meningkat pada separuh kedua tahun ini akibat langkah fiskal domestik. Walaupun momentum pertumbuhan mungkin menurun, kami menjangkakan ia kekal sihat,” katanya.

Dalam pada itu, Yue berkata, ringgit menjadi mata wang utama Asia yang mencatatkan prestasi terbaik berbanding dolar AS tahun ini, meningkat 3.8 peratus sejak awal tahun.

“Namun, angka ini menyembunyikan tekanan baharu yang dihadapi ringgit baru-baru ini dengan penurunan 7.2 peratus sejak Oktober.

“Memandangkan jangkaan kami terhadap kekuatan dolar AS yang berterusan pada tahun depan, kelemahan ringgit dijangka berlanjutan lebih lama,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa perbezaan hasil, walaupun bukan petunjuk yang sempurna, turut mencadangkan kemungkinan penyusutan lebih lanjut.

Menurutnya, situasi ini telah meletakkan BNM dalam keadaan berjaga-jaga kerana masalah berkaitan ringgit lemah dan rizab tidak mencukupi untuk mempertahankan kadar pertukaran dengan kukuh.

Namun, katanya Oxford Economics tidak menjangka ringgit akan jatuh ke paras rendah yang dilihat pada April lalu kerana pasaran telah menjangka BNM akan kekal lebih agresif berbanding Rizab Persekutuan (Fed) AS.

“Selain itu, menurut anggaran BNM beberapa tahun kebelakangan ini, penyusutan mata wang secara langsung tidak akan banyak menyumbang kepada inflasi domestik. Sebaliknya, langkah fiskal yang dirancang akan memberi kesan.

“Harus diakui, titik permulaan adalah rendah, inflasi hanya 1.9 peratus pada Oktober, meskipun kerajaan telah sebahagiannya menarik balik subsidi diesel di Semenanjung Jun lalu.

“Namun, langkah untuk mengurangkan defisit fiskal pada 2025 seperti rasionalisasi subsidi bahan api, peluasan cukai perkhidmatan dan kenaikan cukai gula akan meningkatkan harga bermula pertengahan tahun depan,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close