Kedai RuncitPilihan Editor

Penternak Rugi Besar, 48 Sarang Kelulut Dihanyutkan Arus Banjir

Seorang penternak lebah kelulut terpaksa berputih mata, melihat 48 sarang yang diusahakannya bernilai lebih RM26,000 musnah akibat banjir yang melanda baru-baru ini.

Penduduk Kampung Lubuk Periuk, Yahaya Abdullah, 62, yang menternak kelulut sejak empat tahun lalu, berkata banjir luar biasa yang berlaku pada Februari dan Disember tahun lalu menyebabkan dia kerugian besar.

Katanya, beliau menternak dua spesies lebah kelulut iaitu Itama dan Thoracica, namun sarang lebah yang diletakkan di atas bongkah batu dihanyutkan banjir yang disifatkan luar biasa kali ini.

“Biasanya banjir yang berlaku tidak seperti ini kerana paras air yang melimpah kali ini mencecah hingga dua meter hingga menghanyutkan sarang kelulut.

Yahaya berkata, ketika sibuk mengalihkan barangan dalam rumah berikutan air meningkat secara mendadak, beliau tidak sempat mengalih kesemua sarang kelulutnya hingga menyebabkan ada yang dihanyutkan arus banjir.

Yahaya berkata, buat masa ini dia memasang perancah besi dan meletakkan sarang kelulut di atasnya bagi mengelak berlakunya kerugian sekiranya berlakunya bencana banjir.

“Sekiranya sarang kelulut tidak rosak pendapatan hasil menjual madu kelulut boleh mencecah hingga RM4,000 namun bergantung kepada madu yang terhasil.

“Namun, dengan baki 15 sarang yang tinggal hasilnya tidak begitu banyak namun saya bersyukur kerana masih ada sarang yang dapat diselamatkan walaupun sebahagian besarnya musnah dan dihanyutkan banjir.

“Banjir yang berlaku dua kali pada tahun lalu amat luar biasa kerana kedalaman air agak tinggi dan tidak seperti tahun-tahun sebelumnya hingga saya tidak sempat menyelamatkan sarang kelulut yang berada bersebelahan rumah,” katanya.

Yahaya berkata, walaupun mengalami kerugian namun dia menganggap itu sebagai satu cabaran buatnya dan akan terus berusaha kerana bidang pertanian dan penternakan merupakan sumber rezeki buatnya.

Menurutnya, kedudukan kampung yang sering dilanda banjir mengajarnya untuk lebih berhati-hati selepas ini untuk menempatkan sarang kelulut di kedudukan lebih tinggi supaya tidak terjejas sekiranya berlaku banjir.

Katanya, untuk mendapatkan sarang biasanya beliau akan membeli daripada penduduk setempat sebelum sarang itu ditempatkan di perkarangan rumahnya.

Tambahnya, kebiasaannya satu sarang boleh mengeluarkan antara 500 gram hingga satu kilogram madu dan ia dipungut antara bulan Januari hingga Oktober. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close