Pilihan EditorTwo Cents

PANDANGAN: Tangani Trumponomics secara teliti hadapi ketidaktentuan ekonomi – Penganalisis

Oleh Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin

Keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini membatalkan sebahagian besar pelaksanaan tarif ‘timbal balas’ Presiden AS, Donald Trump tidak dinafikan dapat memberikan kesan positif kepada ekonomi Malaysia.

Dalam jangka pendek, kita dapat lihat antara punca ketidakpastian dalam ekonomi global sudahpun dihapuskan. Ini sedikit sebanyak memberikan satu bentuk penggalak kepada ekonomi negara, walaupun mungkin hanya sementara waktu, terutama kepada pemain industri dan pengeksport global dalam konteks ketidakpastian kos barangan berkait dengan eksport ke AS.

Ini akan memberikan kesan positif kepada pemain industri tempatan berorientasikan eksport ke AS, terutama dari segi daya saing dan dalam hal rantaian bekalan global secara keseluruhannya.

Namun, beberapa jam sahaja selepas keputusan Mahkamah Agung itu, Trump bertindak balas dengan mengenakan tarif 10 peratus ke atas barangan import dari semua negara. Pada hari berikutnya, Trump menaikkan tarif seragam ini kepada 15 peratus pula.

Sebenarnya, kejutan dibuat Trump ini, dengan mengubah keputusannya dalam masa terdekat bukanlah memeranjatkan. Pada April tahun lalu, Trump mengejutkan dunia dengan pengenaan tarif timbal balasnya dengan kadar rambang. Jelas ekonomi dunia berjaya mengelak daripada kemelesetan ekonomi seperti dijangka beberapa pakar ekonomi ketika itu.

Ekonomi Malaysia pula merekodkan prestasi lebih baik daripada jangkaan. Pada suku keempat 2025 misalnya, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bertumbuh melebihi jangkaan awal, iaitu pada kadar 6.3 peratus, sekali gus menjadikan pertumbuhan ekonomi pada keseluruhan tahun lalu direkodkan pada tahap 5.2 peratus.

Kadar inflasi pula rendah dan stabil, manakala kadar pengangguran juga adalah keseluruhannya terkawal. Nilai perdagangan dan pelaburan juga agak memberangsangkan dengan prestasi ringgit semakin kukuh dari semasa ke semasa.

Namun, ada kerisauan apabila eksport bersih negara pada suku keempat 2025 menguncup kepada 45.8 peratus, menjadikan eksport bersih keseluruhan pada tahun lalu berada pada tahap negatif, iaitu 19.3 peratus. Pembatalan tarif timbal balas AS ini dijangka memperbaiki aspek ini pada tahun ini.

Trump ada menyebut dalam sidang akhbarnya bahawa ‘kami ada alternatif,’ dan menekankan strategi terbabit apabila dilaksanakan kelak, akan meningkatkan lagi kemasukan wang ke AS daripada sebelumnya.

Apakah tindakan alternatif ini? Jika dilihat dari segi pengenaan tarif, keputusan Mahkamah Agung AS menyatakan Trump perlu kelulusan Kongres jika ingin mengenakan cukai (tarif) di bawah Undang-Undang Kecemasan Ekonomi (IEEPA). Jadi, Trump boleh mengenakan tarif dengan menggunakan undang-undang lain, misalnya 15 peratus dikenakan serta-merta dengan menggunakan Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974.

Terdapat juga seksyen lain yang boleh digunakannya seperti Seksyen 301, 232, 338 dan seksyen berkait dengan undang-undang perdagangan di AS. Namun, ia tidak semudah seperti Seksyen 122 yang dilakukan Trump ketika ini kerana seksyen berkenaan memerlukan siasatan formal daripada agensi persekutuan AS sebelum dapat dilaksanakan.

Seksyen 122 juga bersifat sementara, iaitu hanya untuk tempoh lima bulan dan selepas itu, perlu dibawa kepada Kongres untuk mendapat kelulusan bagi tempoh seterusnya. Selain tarif, Trump juga boleh memfokuskan perbincangan dan juga ‘dealmaking’ yang selalu dilakukannya sebelum ini juga.

ART beri situasi menang-menang

Dalam konteks Malaysia, di sinilah pentingnya Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang ditandatangani kedua-dua pihak, iaitu Malaysia dan AS pada Oktober tahun lalu. Dengan melakukan rundingan semula pascakeputusan Mahkamah Agung AS ini, Malaysia dilihat mempunyai kelebihan untuk memastikan selepas diratifikasi, ART boleh dilihat sebagai satu kerangka perdagangan menang-menang dan boleh dijadikan asas kepada perundingan lebih bersifat timbal balas daripada berbentuk unilateral pada masa hadapan.

Seperti yang sudah disebutkan di atas, dengan pengukuhan ekonomi domestik ketika ini, Malaysia mendepani cabaran baharu ini dalam keadaan kuat dan kukuh. Saya juga melihat keputusan Mahkamah Agung AS ini akan mengukuhkan lagi nilai ringgit, nilai FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dan juga sentimen positif pelabur serta peniaga luar kepada ekonomi Malaysia dalam jangka terdekat dan sederhana.

Dasar serta perancangan ekonomi jelas juga akan memberikan kekuatan kepada Malaysia dalam mengharungi ketidakpastian baharu ini dalam keadaan lebih baik dalam jangka sederhana dan panjang.

Malaysia juga perlu meneruskan usaha untuk mempelbagaikan pasaran perdagangan dan pelaburan ketika ini, baik secara bilateral ataupun multilateral. Mungkin juga rundingan secara bersama, iaitu dengan ASEAN misalnya, boleh mengukuhkan lagi kekuatan kita dalam meja perundingan dengan AS.

Akhirnya, risiko utama perlu diurus bukanlah tarif Trump semata-mata, tetapi dasar ekonomi Trump atau Trumponomics itu sendiri, yang bersifat protectionist dan inward-looking, perlu ditangani secara berhati-hati, tanpa terburu-buru dan berhemah kerana ketidaktentuan ini dijangka akan berterusan pada masa hadapan. – BH ONLINE

 

  • Penulis ialah Felo Bersekutu Kanan Institut Dasar Ekonomi Dan Kewangan (ECOFI), Universiti Utara Malaysia (UUM)

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close