MalaysiaPilihan Editor

CUEPACS Syor Naikkan Imbuhan Tetap Perumahan, Elaun Bandar Raya

Kenaikan Imbuhan Tetap Perumahan dari RM350 kepada RM450 dan memperkenalkan elaun bandar raya RM500 adalah antara lapan cadangan CUEPACS dalam skim baharu gaji perkhidmatan awam untuk dipertimbangkan kerajaan.

Cadangan lain ialah kenaikan gaji tahunan yang perlu ditambah baik kepada RM180, kenaikan pangkat Jawatan Khas Untuk Penyandang (KUP) pertama 10 tahun dan KUP kedua lapan tahun serta gred minimum perkhidmatan awam bermula gred 19, peningkatan gred untuk Skim Perkhidmatan Pembantu Tadbir (PTPO) dan Pembantu Tadbir Kewangan ke Gred 29 serta Sistem Saraan hendaklah dikaji setiap lima tahun sekali.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat, berkata keadaan ekonomi yang sentiasa berubah dengan mendadak serta ditambah peningkatan kos sara hidup yang begitu ketara menyebabkan semua pihak terkesan dengan bebanannya.

“Justeru, CUEPACS bersedia untuk bersama-sama dengan pasukan yang akan mengkaji semula skim gaji perkhidmatan awam bagi memberikan pandangan yang wajar dari sudut pandang warga pekerja dan memulakan rundingan semula.

“Ini kerana skim gaji penjawat awam sedia ada ketika ini berada di tahap yang rendah dan perlu disemak dengan segera di mana syor ini sudah lama dibangkitkan oleh CUEPACS menerusi rundingan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan mengkaji semula skim gaji perkhidmatan awam di seluruh negara, dengan perbincangan mengenainya dibawa ke dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pertimbangan itu wajar dibuat selepas mengambil kira skim gaji penjawat awam sedia ada ketika ini berada di tahap yang rendah.

Mengulas mengenainya, Adnan berkata, CUEPACS berharap suatu tempoh masa tidak terlalu lama ditetapkan bagi pasukan ini memberikan dapatan berdasarkan kajian yang dibuat.

“Tempoh masa itu tidak boleh terlalu panjang supaya ia relevan dengan situasi persekitaran ekonomi semasa yang sentiasa berubah dengan mendadak. Apatah lagi peningkatan kos sara hidup yang begitu ketara ketika ini dan semua pihak terkesan dengan bebanan kos itu.

“CUEPACS juga bersedia untuk bersama-sama dengan pasukan ini bagi memberikan pandangan yang wajar dari sudut pandang warga pekerja. Ia bagi memastikan syor yang dikemukakan nanti diterima oleh penjawat awam yang merupakan penerima manfaat,” katanya.

Adnan berkata, permintaan penjawat awam untuk kerajaan menilai semula kadar gaji dan upah perkhidmatan awam sememangnya berasas berikutan kos sara hidup ketika ini meningkat dengan drastik.

“Apatah lagi sistem saraan perkhidmatan sedia ada ketika ini masih berdasarkan Sistem Saraan Malaysia pada 2002 yang hanya ditambah baik apabila Sistem Saraan Baharu Perkhidmatan Awam yang diperkenal pada 2012.

“CUEPACS juga bersedia untuk bersama-sama dengan pasukan ini bagi memberikan pandangan yang wajar dari sudut pandang warga pekerja. Ia bagi memastikan syor yang dikemukakan nanti diterima oleh penjawat awam yang merupakan penerima manfaat,” katanya.

Beliau berkata sebelum ini, CUEPACS mencadangkan bahawa kesesuaian gaji minimum perkhidmatan awam ialah RM1,800 dalam menjamin kehidupan golongan penjawat awam supaya dapat menjalani kehidupan dalam keadaan sedikit selesa dengan kenaikan kos sara hidup.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM), Datuk Yidris Abdullah, berkata pihaknya menuntut kerajaan agar melakukan penyelarasan bayaran pencen mengikut kadar peratusan sama sekiranya bersetuju menaikkan gaji perkhidmatan awam.

Berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan bulan lalu, beliau berkata, kerajaan perlu mematuhi ketetapan itu selepas mendapati pindaan terhadap Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 kurang memberi manfaat kepada pesara perkhidmatan awam, sehingga panel lima hakim mengisytiharkannya sebagai terbatal dan tidak sah.

“Apa saja kenaikan atau janji perlu ada penyelarasan gaji penjawat awam. Dengan itu, kena ikut Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan, di mana pesara juga perlu diberi penyelarasan pencen.

“Kalau penyelarasan gaji penjawat awam naik 10 peratus, maka penyelarasan pencen juga perlu ditetapkan 10 peratus.

“Jangan kesilapan pada 2013 berulang semula. Semakan gaji penjawat awam 2012 tidak mengambil kira penyelarasan pencen. Tetapi sebaliknya di pinda Akta Penyelarasan Pencen 1980 sebagai pindaan 2013, di mana Seksyen 3 dan 7 dipinda dengan pencen ditetapkan dua peratus setiap tahun.

“Ia tidak adil bagi pesara kerana kemungkinan penyelarasan gaji penjawat awam akan terus diadakan dan pesara hanya naik dua peratus setiap tahun. Ia melanggar apa yang ditetapkan dalam Perlembagaan,” katanya kepada BH.

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close