Pilihan EditorTurun Naik

Patriotisme Ekonomi Visi Pembentukan Malaysia & Kemerdekaan Tanah Air Demi Kesejahteraan “KELUARGA MALAYSIA” Pasca COVID-19

Oleh Ahmad Fauzi Mustafa

 

September bulan yang perlu diingati oleh setiap “Keluarga Malaysia.

Ini bulan pembentukan negara Malaysia ke-58 tahun yang perlu dihayati, difahami, didokong serta dipertahankan walaupun dengan nyawa sendiri.

Lebih dua minggu lalu, Ogos bulan yang baru diraikan dan diingati oleh setiap “Keluarga Malaysia”. Itulah bulan kemerdekaan yang ke-64 tahun.

Dalam mempertahankan pembentukan Malaysia dan kemerdekaan tanah air, ia bukanlah sesuatu yang mudah.

Malahan, “Keluarga Malaysia” sewajarnya membayangi bagaimana pencapaian ekonomi Malaysia dalam tempoh 100 tahun era pembentukan Malaysia dan kemerdekaan yang mendatang !

Apakah ketika itu, Malaysia telah mencapai sebuah negara yang kaya, paling maju serta unggul dalam memacu kepelbagaian ekonomi sejagat termasuk berperanan sebagai sebuah negara kesejahteraan ekonomi yang memayungi negara-negara sedang membangun dan kecil sebagai fikrah negara yang dermawan.

Di sinilah di bawah kepimpinan baharu Perdana Menteri Ke-9, YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan barisan Kabinet yang kompeten dituntut merencanakan patriotisme ekonomi sebagai agenda utama pembela kepada rakyat “Keluarga Malaysia”, pelindung kepada pemulihan ekonomi negara serta penangkis COVID-19 kepada kesejahteraan kesihatan awam yang lebih selamat dan terjamin.

Patriotisme jangan dlihat atas satu dimensi sayangkan negara semata-mata, malahan patriotisme boleh diterjemahkan dalam pelbagai versi yang dimaksudkan penulis tadi, terutama dalam soal kesejahteraan ekonomi yang lebih meluas.

Elemen patriotisme ekonomi perlu tampil dengan idea segar, hujahan ekonomi sosialistik serta hidangan inovasi kek ekonomi yang lebih tuntas kepada “Keluarga Malaysia” dan negara.

Menerusi sentuhan “’magis’ Perdana Menteri baharu kita, satu model ekonomi baharu atau yang diperbaharui hendaklah bermatlamat memberi keadilan ekonomi kepada seluruh “Keluarga Malaysia” di samping membina negara yang stabil.

Patriotisme ekonomi bersepadu hendaklah dijadikan asas kepada kerangka model ekonomi bagi pemerkasaan pembangunan negara pasca pandemik COVID-19.

Umpamanya, prospek pertumbuhan ekonomi gig terutama dalam industri e-dagang, e-hailing, p-hailing serta sektor makanan dan minuman dalam landasan pemulihan ekonomi pasca pandemik COVID-19, setakat mana penerokaannya ?

Bagaimana pula program-program perintis merangkumi pekerjaan yang hampir melumpuhkan beberapa sektor seperti bisnes pendidikan tiusyen, pelancongan, perhotelan, penerbangan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), apakah pula misi penyelamatnya ?

Di sini, tuntutan patriotisme ekonomi hendaklah diterjemahkan dalam mencipta semula peluang pekerjaan dan penciptaan kekayaan baharu serta menjana pendapatan semula menerusi Majlis Pekerjaan Negara.

“Keluarga Malaysia” tidak mahu melihat ekonomi negara berada di ambang kemunduran.

Poket rakyat semakin nipis dan mental semakin murung.

Kerana itu, patriotisme ekonomi hendaklah dijadikan pegangan yang seharusnya dihubungkan dengan keadaan semasa sesebuah negara berkenaan.

Tiada lagi soal ketinggalan dari segi pelaburan dan pembangunan. Kepimpinan kerajaan baharu perlu mengemukakan tawaran baharu yang boleh mengembalikan hak-hak rakyat “Keluarga Malaysia” yang telah hilang sepanjang pandemik COVID-19.

Lantikan Perdana Menteri Ke-9 akan menjadi pemula kestabilan politik, sekaligus harapan seterusnya ekonomi stabil, kesihatan terjamin dan negara terus mampan.

Ini boleh dilihat komitmen 100 hari pencapaian keberhasilan barisan Kabinet dan syor Perdana Menteri kita supaya ada usaha meningkatkan kuasa beli pengguna dan mengangkat semula sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

Sebagai contoh trending ekonomi sekarang, inisiatif Program Penggalak Fintech yang dibangunkan membuka peluang kepada syarikat teknologi kewangan (Fintech) merangsangkan ekosistem fintech lebih dinamik yang akan memudahkan inovasi berterusan dalam sektor perkhidmatan kewangan, sambil menyumbang kepada ekonomi digital yang sedang berkembang maju di Malaysia.

Semestinya, patriotisme ekonomi dapat mengubah skala dan menerapkan ‘benteng Malaysia’ lebih kebal atau bertujuan untuk mewujudkan ‘juara Malaysia global yang mementingan nilai-nilai kepentingan negara sendiri terlebih dahulu.

Keutamaan kesejahteraan ekonomi tempatan perlu ditampilkan sebagai satu bentuk kesetaraan ekonomi yang memberi hak istimewa kepada kedudukan rakyat “Keluarga Malaysia”.

Sesungguhnya, patriotisme ekonomi bertujuan untuk menerapkan sistem pengawalseliaan dan kegiatan ekonomi yang membolehkan negara mendapat keuntungan positif dari pengembangan perusahaan dari segi pertumbuhan dan pekerjaan.

Patriotisme ekonomi juga memperkasakan kerjasama awam-swasta untuk memenangi pasaran serta mengambil peluang hasil inovasi PKS sebagai tunjang patriotisme ekonomi, terutama dalam dunia digital ekonomi.

Ini menunjukkan perlunya usaha untuk mengembangkan dasar awam yang kukuh dalam perisikan ekonomi yang lebih realistik.

Yang penting, rakyat “Keluarga Malaysia” teramat rindu dan insaf untuk kembalinya ekonomi yang sihat lagi stabil waima pandemik COVID-19 kini sudah menjadi sebahagian kepada kehidupan manusia sekarang. – BACALAHMALAYSIA.MY/FB ISMAIL SABRI YAAKOB

 

  • Penulis ialah Penganalisis Kanan Sosio-Ekonomi di Pusat Penyelidikan Strategik (PPS), sebuah badan pemikir bebas dan bukan untuk keuntungan serta bekas Penyelidik kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara dan Parlimen Malaysia.

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close