GovernansMalaysiaPilihan Editor

PARLIMEN: Beri Subsidi Tunai Bersasar Secara Bulanan – Ahli Parlimen Titiwangsa

Kerajaan disaran memberi subsidi bersasar kepada rakyat melalui pemindahan tunai secara bulanan, berbanding mekanisme subsidi pukal yang dilaksanakan ketika ini.

Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) berkata, sistem pemindahan tunai membolehkan golongan sasar menggunakan wang subsidi yang diberikan terus untuk membeli barang keperluan pada harga pasaran, berbanding subsidi pukal yang bersifat regresif, memanfaatkan golongan berpendapatan tinggi dan terdedah kepada ketirisan.

Mengambil contoh subsidi minyak masak, beliau berkata, kerajaan mengeluarkan 60,000 tan minyak masak bersubsidi sebulan tetapi tidak semua rakyat dapat membelinya, malah turut dinikmati warga asing.

“Selalunya, apabila dasar kita tidak berjaya, ia disebabkan ada yang rugi dalam rantaian itu. Dia tidak mendapat subsidi dan tertinggal.

“Jika betul-betul nak bantu B40 dan M40, kita beri secara pemindahan tunai, justeru kita dapat menjimatkan berbilion ringgit (dalam bentuk pemberian subsidi),” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

Johari yang juga bekas Menteri Kewangan II berkata, kerajaan membelanjakan hampir RM62 bilion tahun lalu untuk subsidi bahan api.

Jika dibanding dengan STR bernilai kira-kira RM10 bilion, perbelanjaan kerajaan bagi subsidi tidak bersasar adalah empat kali ganda berbanding bantuan itu.

“Dengan menjimatkan separuh subsidi bahan secara tidak bersasar, katalah kita jimatkan RM20 bilion, kerajaan boleh tingkatkan peruntukan STR tiga kali ganda melalui penyusunan semula subsidi secara bersasar.

“Kerajaan perlu tentukan jumlah bayaran ini. Kita berikan pemindahan tunai setiap bulan, bukan sekali bagi kerana apabila diberi setiap bulan, penggunaan akan meningkat dan industri akan membangun.

“Ia akan memberi kesan berganda jika kita betul-betul menyusun strategi ini dan memberi kesan yang sangat baik serta cekap kepada putaran ekonomi negara,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui pelaksanaan subsidi bersasar bahan api bukan mudah dan tidak boleh dilakukan secara sekali gus, sebaliknya akan mengambil masa dengan jumlah subsidi bahan api dikurangkan secara berperingkat dan mengambil kira harga minyak mentah dunia.

“Katakan ia akan mengambil masa lima atau 10 tahun, setiap tahun kita kurangkan subsidi, contohnya 10 peratus pada tahun pertama dan 10 peratus tahun kedua,” katanya.

Sementara itu, Johari turut mencadangkan mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang difikirkan strategik oleh kerajaan tidak disenaraikan di Bursa Malaysia selagi belum benar-benar bersedia.

Sebagai contoh, katanya, walaupun penyenaraian FGV Holdings Bhd (FGV) berniat baik, namun kegagalan dalam pengurusan menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian dan terpaksa diselamatkan.

“Jika kita konsisten dengan pendekatan sedia ada, mana-mana penyenaraian ini kita anggap sebagai pelaburan yang memaksimumkan pulangan kepada kita.

“Jika kita tidak bersedia untuk ini, kita biarkan dalam mana-mana agensi kerajaan, jangan disenaraikan sebab jika tidak, akan ada masalah di luar.

“Kita nak bawa pelabur dari luar untuk menguatkan pasaran saham dan kedudukan ringgit tapi kalau dah keliru dari segi masalah ini, akhirnya kerajaan tidak pilihan, aset terpaksa diselamatkan,” katanya. – BH ONLINE/BERNAMA

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close