Turun Naik

Pelaburan AI ubah peranan Malaysia dalam ekonomi digital dunia

Peranan Malaysia dalam sektor teknologi global kini semakin berkembang apabila negara ini bukan lagi sekadar dikenali sebagai hab pembuatan semikonduktor, sebaliknya muncul sebagai lokasi strategik bagi pembangunan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) yang menjadi tunjang ekonomi digital dunia.

Perubahan landskap itu didorong oleh evolusi pelaburan AI global yang kini beralih daripada memberi tumpuan kepada pengeluaran cip semata-mata kepada pembinaan ekosistem infrastruktur digital merangkumi pusat data, penjanaan tenaga elektrik, grid penghantaran kuasa dan kemudahan awan berskala besar.

Menurut Tinjauan Ekonomi dan Pasaran Separuh Kedua 2026: The Great Geoeconomics Rewire oleh IPP Financial Advisers (IPPFA), Malaysia berada dalam kedudukan terbaik untuk memanfaatkan perubahan tersebut hasil ekosistem semikonduktor yang matang, peningkatan pelaburan pusat data serta pembangunan infrastruktur AI yang semakin pesat.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ketua Ahli Ekonomi Negara IPPFA, Mohd Sedek Jantan, berkata AI kini tidak lagi boleh dilihat semata-mata sebagai tema pelaburan teknologi kerana ia berkembang menjadi pemacu utama pembangunan infrastruktur negara.

“AI semakin menjadi kisah mengenai infrastruktur. Apabila penggunaan AI semakin meluas, peluang pelaburan akan berkembang jauh melangkaui syarikat semikonduktor kepada penjanaan tenaga, penghantaran elektrik, pusat data dan infrastruktur digital,” katanya.

Mohd Sedek berkata kitaran pelaburan AI global kini memasuki fasa baharu apabila syarikat teknologi gergasi dunia meningkatkan perbelanjaan modal bagi membina pusat data berskala hiper untuk menyokong permintaan aplikasi AI yang semakin kompleks.

Beliau berkata perkembangan itu turut mengubah kekangan utama rantaian bekalan AI global, apabila cabaran kini bukan lagi tertumpu kepada bekalan cip berprestasi tinggi semata-mata.

Sebaliknya, katanya, ia kini lebih kepada keupayaan menyediakan bekalan elektrik mencukupi, pemodenan grid tenaga serta pembinaan infrastruktur sokongan bagi menampung penggunaan tenaga pusat data berskala besar.

“Keadaan itu secara tidak langsung membuka peluang baharu kepada syarikat utiliti, pembinaan, hartanah industri dan penyedia infrastruktur digital tempatan yang dijangka menjadi antara penerima manfaat utama gelombang pelaburan AI global,” katanya.

IPPFA menjangkakan sektor utiliti, teknologi, pembinaan, produk perindustrian dan perkhidmatan kewangan di Malaysia akan terus menerima limpahan pertumbuhan susulan penyertaan negara dalam rantaian bekalan AI dan kepelbagaian pengeluaran global.

Dalam masa sama, Malaysia terus mendapat manfaat daripada strategi syarikat multinasional yang mempelbagaikan lokasi pembuatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu negara, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab teknologi bernilai tinggi di rantau ini.

Menurut IPPFA, Malaysia kini menarik pelaburan bukan lagi semata-mata kerana kos buruh kompetitif, sebaliknya berasaskan ekosistem semikonduktor kukuh, tenaga kerja mahir, lokasi strategik serta peranan yang semakin penting dalam rantaian bekalan AI global.

Pada masa sama, ledakan pembangunan AI dijangka mewujudkan kitaran pertumbuhan komoditi baharu apabila permintaan terhadap tembaga, uranium dan mineral kritikal meningkat bagi menyokong pembinaan grid elektrik, pusat data serta infrastruktur tenaga untuk operasi AI berskala besar.

IPPFA mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 4.6 peratus bagi 2026 dan berpandangan negara berada dalam kedudukan kukuh untuk memanfaatkan perubahan struktur ekonomi global dipacu AI, kepelbagaian rantaian bekalan serta pelaburan strategik dalam infrastruktur digital.  – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close