Pilihan EditorTurun Naik

Sasaran Pemulihan Negara Semakin Dalam Jangkauan: MENTERI KEWANGAN

Oleh Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

 

LABUAN hari ini (17 Julai 2021) melonjak di kaca mata nasional kerana kejayaannya memerangi varian Delta.

Sebelum ini, Labuan diklasifikasi zon merah dengan kadar kes harian semakin meninggi sehingga pada satu masa, kadar R-Naught dikatakan melangkaui 2.4 – lebih tinggi daripada paras kebangsaan.

Pasukan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di Labuan bergegas merangka strategi melawan gelombang terbaru ini dengan gandingan Jabatan Kesihatan Negeri dan Kementerian Wilayah Persekutuan. Langkah efektif dikenal pasti dan dilaksanakan sepadu dan cekap.

Hari ini, Labuan berjaya dikeluarkan dari zon merah dan menjadi panduan untuk kita menangani varian Delta yang lebih berbahaya dan agresif.

Krisis sebegini sememangnya menduga kemampuan fikiran, kebolehlaksanaan dan ketahanan sesuatu masyarakat. Malaysia tidak terkecuali.

Tahun lalu, kita berjaya melangkah ke depan dengan pelbagai strategi ekonomi dan kesihatan awam. Tahun ini, varian Delta yang lebih agresif menimbulkan cabaran baharu bagi kita.

 

Petugas kesihatan bersama anggota polis dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan memakai peralatan perlindungan diri (PPE) ketika melaksanakan pengesanan kes aktif (ACD) dalam Ops Bersih COVID-19 di Kampung Saguking, Labuan, semalam. - Foto BERNAMA
Petugas kesihatan bersama anggota polis dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan memakai peralatan perlindungan diri (PPE) ketika melaksanakan pengesanan kes aktif (ACD) dalam Ops Bersih COVID-19 di Kampung Saguking, Labuan, semalam. – Foto BERNAMA

 

Jika ada melemparkan cemuhan mengatakan Malaysia ‘gagal’, maka hal sama boleh diperkatakan terhadap kebanyakan negara dunia yang bergelut dengan gelombang COVID-19.

Kerajaan dan jentera birokrasi tidak asing daripada kepincangan dan jauh daripada sempurna.

Namun, Labuan saya angkat sebagai contoh apabila terdapat gandingan sepadu antara Kerajaan Pusat dan pelaksanaan pada peringkat tempatan.

Pepatah tradisi mengatakan, ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’.

Dengan akal dan pemikiran sebegitu, saya sering ingatkan pasukan sekretariat Pelan Pemulihan Negara (PPN) di bawah Kementerian Kewangan untuk mengambil pendekatan inklusif dalam pelaksanaannya.

Terbaru Jumaat lalu, kerajaan bersetuju Jawatankuasa Khas Kabinet PPN digantikan dengan Majlis Pemulihan Negara (MPN). Antara keputusan dipersetujui MPN untuk memastikan PPN membabitkan penyertaan pakar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil industri.

MPN juga akan memperjelaskan prosedur operasi standard (SOP) serta mengesyorkan kelonggaran sektor dan aktiviti bersesuaian untuk pertimbangan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kejayaan PPN bergantung pendekatan ‘keseluruhan negara’ kerana tiada kerajaan di dunia mampu melakukannya sendiri. Semua pihak – Kerajaan Pusat, negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), sektor swasta, NGO dan seluruh lapisan rakyat perlu memainkan peranan memastikan negara bergerak ke arah pemulihan.

Realitinya, ekonomi perlu terus dipelihara kerana ia menjamin negara terus mempunyai sumber dan kemampuan meneruskan perang melawan COVID-19.

Bulan lalu, agensi penarafan antarabangsa seperti S&P dan Moody’s masing-masing memberikan penarafan A- dan A3 kepada Malaysia. Ia bukan calang-calang, jauh sekali kepada negara yang dianggap ‘gagal’.

Asas ekonomi negara masih teguh walaupun impak COVID-19 menggasak perdagangan domestik dan antarabangsa.

Prospek pertumbuhan Malaysia pada jangka masa sederhana masih cerah, pasaran modalnya masih utuh, sektor kewangan negara miliki kecairan dan modal penampan yang mendalam.

Kerajaan setakat ini memperkenalkan lapan pakej stimulus dan bantuan rakyat – keseluruhannya bernilai lebih RM530 bilion demi menyokong ekonomi, rakyat dan perniagaan.

 

Petugas kesihatan bersama anggota polis memakai peralatan perlindungan diri (PPE) memakaikan gelang kuarantin kepada penduduk ketika melaksanakan pengesanan kes aktif (ACD) dalam Ops Bersih COVID-19 di Kampung Saguking, Labuan, semalam. - Foto BERNAMA
Petugas kesihatan bersama anggota polis memakai peralatan perlindungan diri (PPE) memakaikan gelang kuarantin kepada penduduk ketika melaksanakan pengesanan kes aktif (ACD) dalam Ops Bersih COVID-19 di Kampung Saguking, Labuan, semalam. – Foto BERNAMA

 

Semua pakej inilah yang membela nasib lebih sejuta perniagaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), memelihara lebih 2.7 juta pekerja daripada diberhentikan, memberi bantuan tunai langsung kepada 10 juta individu dan keluarga, menyalurkan bantuan makanan kepada lebih sejuta penerima dalam kalangan golongan pendapatan rendah, malah meyakinkan industri perbankan untuk melaksanakan moratorium pinjaman enam bulan.

Sudah tentu, ada antara 32 juta rakyat kita tercicir mendapat pertolongan seperti bantuan makanan.

Menyedari perkara ini kerajaan memberikan RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen, tanpa mengira parti untuk membantu golongan rentan dan yang memerlukan di kawasan masing-masing.

Di perbatasan kesihatan pula, beberapa fakta ingin dikemukakan:

• Kadar vaksinasi. Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mengatasi sasaran awal 300,000 dos dan kini mencecah angka 400,000 dos sehari.

Berdasarkan statistik, Malaysia antara 10 negara paling tinggi kadar vaksinasi harian di dunia. Analisis terkini menunjukkan Malaysia mampu mencapai 75 peratus imunisasi penduduknya dalam masa tiga hingga empat bulan.

Sejak awal PICK dilaksanakan, kerajaan dengan pantas membuka pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara. Dalam masa beberapa minggu saja, jumlah PPV melonjak hampir 300.

Kerajaan juga meluluskan tambahan RM200 juta untuk menaikkan kadar elaun sukarelawan yang bekerja lebih masa dan PPV kini dibuka tujuh hari seminggu.

• Kadar jangkitan dan ujian saringan COVID-19. Kadar kes harian meningkat sememangnya membimbangkan. Namun, seperti banyak dilaporkan media, varian Delta Plus menular dalam masyarakat jauh lebih berbahaya dan agresif berbanding virus asal.

Kadar kes harian tinggi juga harus mengambil kira ujian COVID-19 kini semakin giat dijalankan menyebabkan lebih banyak kes dapat dikesan.

Virus sudah merebak dalam komuniti secara rawak dan kes sporadik menyumbang hampir 80 peratus jangkitan harian. Justeru, laporan angka kes harian yang meningkat juga didorong hasil kadar ujian dipertingkatkan.

Jelas hari ini, kadar saringan dilakukan pada skala setiap sejuta penduduk antara lima hingga 10 kali lebih tinggi berbanding Thailand, Filipina dan Indonesia.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan meyakinkan kita bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan menampakkan hasil dalam masa terdekat dengan menurunkan angka kadar jangkitan.

 

Unit Bergerak Vaksinasi Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara (PKD SPU) memberi suntikan vaksin kepada warga emas, Saad Saleh, 94, di Kampung Guar Kepayang, Kepala Batas. - NSTP/Danial Saad
Unit Bergerak Vaksinasi Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara (PKD SPU) memberi suntikan vaksin kepada warga emas, Saad Saleh, 94, di Kampung Guar Kepayang, Kepala Batas. – NSTP/Danial Saad

Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin pula memberi pencerahan data yang menunjukkan kadar kematian dan penghospitalan pesakit akan menurun apabila vaksinasi mencapai 30 hingga 40 peratus penduduk.

Sasaran ini semakin dalam jangkauan.

Harus diingat, apa yang penting tahap keseriusan jangkitan.

Jika kita lihat statistik Jumaat lalu, daripada 12,541 kes, hampir 99 peratus adalah kes kategori satu dan dua, iaitu sama ada tiada gejala atau bergejala ringan.

Dengan peningkatan vaksinasi, terutama dengan pelancaran ‘operasi lonjakan vaksin’ yang menyasarkan semua penduduk dewasa Kuala Lumpur dan Selangor berjumlah 6.1 juta menerima vaksinasi dos pertama menjelang 1 Ogos ini, jumlah kes serius dijangka terus menurun, sekali gus mengurangkan beban ke atas sistem kesihatan awam.

Sememangnya, tiada langkah kerajaan mahupun pentadbiran yang 100 peratus sempurna.

Negara perlu menangani cabaran tersendiri dalam mengimbangi nyawa dan rezeki rakyat.

Di sinilah PPN memainkan peranan menzahirkan panduan jelas buat rakyat dan industri melangkah ke hadapan.

Pernah saya katakan sebelum ini dan menjelang PPN ini, saya ulangi: “Kegagalan bukanlah pilihan kita – tidak dulu dan pastinya tidak kini.

Teguh kita, maka menanglah rakyat Malaysia bersama. Insya-Allah”. – BH ONLINE/BERNAMA

  • Penulis adalah Menteri Kewangan

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close