Ranhill Utilities Bhd mengumumkan bahawa empat pengarahnya, termasuk Pengasas dan Pengerusi Eksekutif, Tan Sri Hamdan Mohamad, meletakkan jawatan berkuat kuasa hari ini, selepas kejayaan pengambilalihan Ranhill oleh YTL Power International Bhd dan unit 70 peratus miliknya, SIPP Power Sdn Bhd.
YTL Power dan SIPP Power pada 9 Julai telah menyelesaikan tawaran am mandatori (MGO) untuk syarikat utiliti yang berpangkalan di Johor itu dengan pegangan kawalan sebanyak 53.19 peratus.
Selain Hamdan, Pengarah Eksekutif, Datuk Seri Panglima Lim Haw Kuang dan Zurina Abdul Rahim, serta Pengarah Bukan Bebas, Imaan Aiysha Hamdan juga telah meninggalkan syarikat itu.
Peletakan jawatan mereka adalah menurut terma dalam perjanjian jual beli saham tanpa syarat, menurut makluman Ranhill kepada Bursa Malaysia
YTL Power pertama kali muncul sebagai pemegang saham utama Ranhill pada November tahun lalu, selepas ia membeli hampir 19 peratus pegangan pada harga RM140 juta, atau 58 sen sesaham, daripada TAEL Management Co (Cayman) Ltd, firma ekuiti swasta yang membiayai Hamdan semasa penswastaan Ranhill Bhd dan Ranhill Utilities pada 2011.