Duniaku Teknokrat

Penjagaan Kesihatan Dijangka Catat Pemulihan Secara Berperingkat – Pengerusi KPJ

KPJ Healthcare Bhd (KPJ) menjangka pemulihan secara berperingkat bagi jumlah pesakit mendapat rawatan daripada perkhidmatan penjagaan kesihatannya menjelang akhir tahun ini dan kekal optimis terhadap unjuran jangka panjang, tidak mengambil kira sekiranya berlaku gelombang kedua penularan COVID-19.

Pengerusi KPJ, Datuk Yusli Mohamed Yusoff berkata kadar penginapan penyedia penjagaan kesihatan itu meningkat kepada 40 peratus pada bulan Jun tahun ini daripada 31 peratus dicatatkan pada Mei dan sekitar 20 peratus pada bulan April, berikutan langkah kerajaan melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengaktifkan semula ekonomi.

“Kami beruntung kerana mempunyai penduduk daripada golongan muda yang membantu mengembangkan ekonomi walaupun tahun ini sangat mencabar bagi industri di seluruh dunia,” katanya pada sidang media yang diadakan secara maya selepas mesyuarat agung tahunan KPJ ke-27.

Beliau berkata Malaysia pantas menangani wabak tersebut dan KPJ kini fokus untuk memastikan keselamatan pesakit dan kakitangannya.

Sementara itu, Naib Presiden Kewangan dan Hubungan Pelabur Kumpulan, Norhaizam Mohammad berkata keputusan KPJ untuk suku kedua berkemungkinan akan terjejas akibat PKP.

“Kami menggunakan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan kerajaan untuk keselamatan pesakit dan kakitangan KPJ dan kami mendapati jumlah pesakit telah meningkat.

“Oleh itu, kami menyasarkan jumlahnya akan bertambah pada separuh kedua, tahun 2020, namun angkanya tidak akan sama berbanding tahun 2019,” katanya.

Mengenai rancangan pengembangan kumpulan itu, Presiden dan Pengarah Urusannya Ahmad Shahizam Mohd Shariff berkata susulan PKP, kebanyakan projek pengembangan KPJ terpaksa ditangguhkan.

“Apa sahaja projek yang telah kami jalani ketika tempoh PKP, kami akan menyiapkannya.

“Bagaimanapun, beberapa projek terdahulu yang masih belum siap, ia melibatkan pembinaan atau berada dalam perancangan awal, kini ia sedang dikaji semula.

“KPJ telah memutuskan untuk menangguhkan rancangannya untuk membina beberapa lagi hospital, termasuk satu hospital di Damansara 2 ke tahun hadapan,” katanya.– BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close