Data terkini pertumbuhan ekonomi negara, keadaan fiskal, hutang kerajaan serta kaedah mengurangkan defisit dan hutang itu antara persoalan yang akan dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, perkara itu terkandung semasa sesi soal jawab yang akan diajukan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) kepada Menteri Kewangan.
Turut terkandung dalam sesi itu adalah soalan Dr Maszlee Malik (PH-Simpang Renggam) kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia mengenai usaha dan inisiatif kementerian untuk membantu para pelakon serta artis menyimpan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) demi masa depan dan saraan hari tua mereka.
Selain itu, pertanyaan mengenai status terkini projek-projek solar di bawah Projek Solar Berskala Besar Pusingan Ketiga (LSS3) dan Program Solar Berskala Besar Bagi Menarik Pelaburan Tenaga Boleh Diperbaharui (LSS@MenTARI) akan dibangkitkan oleh Yeo Bee Yin (PH-Bakri) kepada Menteri Tenaga dan Sumber Asli.
Turut dijangka menjadi tumpuan adalah sesi bacaan kali kedua Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2021, Rang Undang-undang Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 dan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2021) 2022.
Dewan Rakyat bersidang hingga 24 Mac ini. – BERNAMA