GovernansMalaysiaPilihan Editor

PM Anwar Umum Pelbagai Bantuan, RM150 Untuk Semua Murid Pada Januari 2023

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa bantuan bagi meminimumkan impak kenaikan kos sara hidup yang perlu ditanggung rakyat.

Perdana Menteri mencadangkan perkara itu ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagi mengatasi isu generasi tercicir ekoran pandemik COVID-19, beliau berkata, kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan bernilai RM150 kepada semua murid, tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa, pada Januari 2023.

Katanya, adalah penting untuk mempersiapkan murid dengan kelengkapan sekolah yang sewajarnya, selain keperluan perbelanjaan bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan pembelian buku teks.

“Selari pengumuman awal saya selaku Perdana Menteri, isu kos sara hidup adalah keutamaan. Maka, adalah penting RUU ini diluluskan bagi membolehkan penyaluran Bantuan Kebajikan Masyarakat kepada isi rumah miskin, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU),” katanya.

Katanya, bayaran Fasa 1 akan memanfaatkan hampir sembilan juta penerima dengan peruntukan RM2 bilion, membabitkan kadar RM300 bagi setiap isi rumah dan RM100 untuk penerima bujang, selain berharap ia akan membantu meringankan beban ditanggung rakyat ketika ini.

“Kerajaan akan terus memastikan kebajikan pekebun kecil getah sewaktu musim tengkujuh. Setakat ini, kerajaan telahpun menyalurkan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) bagi November dan Disember ini dengan bantuan keseluruhan RM600 kepada hampir 320,000 pekebun kecil getah.

“Sukacita sebagai tambahan, kerajaan bercadang menyalurkan bantuan tambahan sebanyak RM200 kepada pekebun kecil getah, Januari ini.

“Kerajaan Perpaduan amat berterima kasih atas kesungguhan tidak berbelah bahagi anggota awam dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Kerajaan memang silih berganti, tetapi penjawat awam kekal setia dan dedikasi demi negara,” katanya.

Penjawat awam Gred 11-56 dapat kenaikan tambahan RM100 setahun

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bersetuju memberikan Kenaikan Gaji Tahunan Tambahan Khas 2023 bernilai RM100 ringgit kepada semua penjawat awam Gred 11 hingga 56.

Beliau berkata, kerajaan juga bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam gred 56 ke bawah bernilai RM700 ringgit, manakala RM350 bagi sejuta pesara.

“Selanjutnya, RUU ini juga penting dalam mendepani musibah banjir. Meneladani bencana banjir sebelum ini, rakyat tidak boleh lagi diheret dengan kelewatan kerajaan menghulur bantuan dan pertolongan.

“Jadi adalah penting untuk bertindak proaktif dan menggerakkan usaha segera dalam memastikan pengurusan bencana banjir yang teratur, segera dan berkesan.

“Ketika ini, RM400 juta sudah disalurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai kesiapsiagaan awal di kawasan banjir. Pelbagai agensi kerajaan sudah berada di lapangan bagi mengerakkan jentera untuk membantu rakyat.

“Kerajaan memberi jaminan akan menyediakan sumber kewangan tambahan jika perlu bagi memastikan kelancaran pengurusan banjir,” katanya.

Mengenai tatakelola projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM15 bilion, Anwar berkata, sebanyak 28 daripada 39 projek, membabitkan dana bernilai hampir RM14 bilion yang dipohon Kementerian Alam Sekitar dan Air sebelum ini, diluluskan secara rundingan terus.

Beliau bagaimanapun mempersoalkan rasional projek RTB yang berskala besar itu diputuskan secara tergesa-gesa melalui rundingan terus, walaupun pelaksanaan projek berkenaan adalah bagi jangka panjang, iaitu hingga 2030.

“Saya ingin tegaskan, Kerajaan Perpaduan tidak mempersoalkan kepentingan projek RTB. Yang saya gusar ialah duit rakyat sebegini banyak, dibelanjakan dengan begitu mudah dan cepat sekali.

“Maka, saya telah meminta Kementerian Kewangan (MoF) menilai semula proses perolehan, dipercayai dapat menjimatkan sekurang-kurangnya RM2 bilion, yang boleh diagihkan semula untuk kesejahteraan rakyat.

“MoF bersama kementerian berkaitan akan memastikan aspek teknikal projek mengambil kira pandangan pakar bagi memastikan perbelanjaan yang besar ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close