Dimensi BisnesPilihan Editor

DPMMKL Minta Moratorium Automatik

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur (DPMMKL) menggesa pelaksanaan moratorium pinjaman secara automatik selama enam bulan tanpa faedah dan tanpa syarat kepada semua peminjam susulan perlanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Pemangku Yang Dipertua DPMMKL, Ahmad Hussein Tajuddin, berkata kerajaan perlu melihat masalah itu dengan kadar segera walaupun terdapat keberatan dari pihak bank.

Beliau berkata, kerajaan perlu mendorong pihak bank untuk memberikan bantuan sebanyak mungkin kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Katanya, PKS sangat memerlukan pertolongan moratorium itu untuk mengurangkan aliran tunai mereka memandangkan sebilangan besar kos, seperti sewa, gaji dan lain-lain tetap tertunggak dan perlu dilangsaikan dengan aliran tunai sedia ada.

“Syarikat yang layak dan mendapat insentif di bawah program subsidi upah pada PKP yang pertama harus diberikan kelulusan secara automatik tanpa sebarang permohonan baru diperlukan.

“Dengan pemanjangan PKP 3.0, sekurang-kurangnya 50 peratus PKS dijangka akan tutup dan ramai yang akan kehilangan pekerjaan terutama pada bulan Julai,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi menyokong PKS supaya tetap bertahan, beliau menyarankan, agensi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya 30 peratus peratus daripada semua kontrak kepada PKS.

“Kami mendorong lebih banyak penyertaan PKS dalam platform digital untuk mengembangkan sumber pendapatan mereka.

Melihat keadaan semasa, kami tidak berani mengatakan bahawa kita akan pulih dalam masa terdekat.

“Semuanya tertakluk kepada inisiatif kerajaan dan rakyat Malaysia sendiri untuk memainkan peranan mereka dalam membendung wabak COVID-19,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close