MalaysiaPilihan Editor

PRN6: Ilham Centre Jangka Status Quo Di 6 Negeri

Badan penyelidikan Ilham Centre meramalkan semua enam negeri kekal dengan pentadbiran sedia ada selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) berakhir esok.

Dapatan kajian membabitkan 2,304 penduduk di negeri berkenaan ketika tempoh kempen PRN antara 29 Julai hingga 8 Ogos lalu mendapati gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kekal mentadbir di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Selain itu, Perikatan Nasional (PN) yang diwakili PAS, BERSATU dan GERAKAN pula dijangka kekal menguasai Kedah, Kelantan dan Terengganu berdasarkan momentum kempen bagi semua parti bertanding dalam PRN ini.

Menurut Panel Penyelidikan Ilham Centre diketuai Pengarah Eksekutifnya, Hisommudin Bakar, dapatan itu disimpulkan berdasarkan tiga faktor utama iaitu peratusan keluar mengundi yang rendah, sikap penyokong UMNO dan BN terhadap kerjasama parti itu dengan PH serta pola sokongan anak muda yang masih kekal bersama PN.

Katanya, strategi yang digunakan PN ketika berkempen turut menakutkan pengundi bukan Melayu, sekali gus pengundi Cina dan India yang diramal akan keluar dengan jumlah tinggi di Selangor, dijangka terus memberi undi pada PH-BN.

“Kerusi seperti di anjung utara Selangor terdedah kepada penguasaan PN. Kerusi milik PH seperti Sungai Ramal, Morib dan Hulu Bernam. PKR goyang di Sementa dan Sungai Kandis. Hulu Kelang kerusi sengit dan sukar dibuat bacaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagi Negeri Sembilan, data diperoleh Ilham Centre menunjukkan PN sukar mencabar PH-BN berikutan undi asas BN dalam kalangan pengundi Melayu terlalu besar, manakala PH pula menguasai kawasan bercampur dan majoriti Cina, di samping kekuatan PAS dan BERSATU di negeri itu tidak kuat dan tersusun.

“Rumusan untuk Negeri Sembilan hanya tiga DUN berlaku tentangan sengit iaitu Ampangan, Bagan Pinang dan Gemas. Ini sahaja ruang untuk PN menafikan penguasaan total milik PH-BN,” katanya.

Di Pulau Pinang, Ilham Centre mendapati PH dan BN menguasai di kebanyakan kerusi DUN, namun PN berpotensi menang di kerusi majoriti Melayu seperti Penaga, Pinang Tunggal, Permatang Berangan dan Sungai Dua, selain persaingan sengit di Telok Ayer Tawar, Permatang Pasir dan Penanti.

Dalam pada itu, PN pula diramal kekal menguasai Kelantan walaupun wujud ketidakpuasan hati rakyat negeri itu terhadap pentadbiran kerajaan negeri, yang mana hanya 57 peratus yang mahu PAS kekal sebagai kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Ilham Centre mendapati situasi itu berubah selepas penamaan calon kerana pengundi melihat PH-BN tidak serius untuk mengambil alih Kelantan apabila tiada tokoh berwibawa diketengahkan, selain tiada gelombang dengan isu yang kuat dalam kempen kali ini.

“Bagi Kelantan, hanya kerusi DUN Kota Lama dan Galas berpotensi tinggi dan keadaan 50-50 yang memerlukan undi Cina membantu di dua kerusi ini,” katanya.

Di Terengganu, Ilham Centre berpandangan hanya kerusi Telemung jelas berada dalam tangan PH-BN ketika ini, selain pengundi putih UMNO diperlukan di Kijal, Seberang Takir dan Permaisuri untuk gabungan itu menyaingi PAS, manakala DUN Bandar dijangka sengit kerana faktor undi bukan Melayu.

Kajian Ilham Centre juga mendapati PH-BN tidak mampu menggugat penguasaan PN di Kedah, dengan badan penyelidikan itu menyimpulkan faktor Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sudah cukup untuk menyekat kemaraan PH-BN.

“Kesilapan strategi kempen menyebabkan kerusi milik PH dan BN dahulu mungkin akan hilang daripada genggaman. PN juga mampu menyapu hampir bersih jika jumlah pengundi Cina keluar mengundi rendah.

“Kerusi Derga, Darul Aman, Sidam dan Bakar Arang ada peluang buat PH. Undi UMNO perlu keluar maksimum bagi DUN Pedu dan Sungai Tiang untuk menang,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close