Dimensi BisnesPilihan Editor

Persatuan Bank Jamin Mudahkan Permohonan Lanjutan Moratorium

Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia (AIBIM) memberi jaminan kepada peminjam dan pelanggan mengenai komitmen berterusan bank untuk menyediakan bantuan tambahan kepada mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, ABM dan AIBIM berkata, bantuan pembayaran semula itu akan tersedia untuk peminjam yang terjejas oleh wabak COVID-19 setelah berakhirnya moratorium pada 30 September ini.

Katanya, di bawah bantuan pembayaran semula bersasar itu, bank konvensional dan Islamik akan menyediakan bantuan tambahan pasca 30 September ini, khususnya untuk peminjam yang telah kehilangan pekerjaan pada tahun ini dan mereka yang pendapatannya berkurangan disebabkan COVID-19.

“Bagi individu yang kehilangan pekerjaan pada tahun 2020 dan masih lagi belum mendapat pekerjaan lain akan ditawarkan tempoh lanjutan moratorium pinjaman selama tiga bulan lagi oleh bank mereka.

“Untuk individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas akibat COVID-19 perlu menghubungi bank mereka bagi mengubah terma kemudahan pinjaman mereka untuk mengurangkan ansuran bulanan sekurang-kurangnya selama enam bulan bermula 1 Oktober ini, bergantung pada jenis pembiayaan,” katanya.

Persatuan bank itu berkata, bank-bank akan menilai kedudukan kewangan peminjam pada akhir tempoh bantuan itu untuk menimbangkan sama ada bantuan pembayaran semula adalah diperlukan.

“Bagi pembiayaan sewa beli, peminjam yang terjejas akan ditawarkan jadual ansuran pembayaran yang disemak semula supaya selaras dengan Akta Sewa Beli 1967 atau menyamai dasar perbankan Islamik.

“Dalam semua kes, peminjam perlu menghubungi bank mereka bagi membincangkan pilihan yang ada untuk mereka dan memohon bantuan ini.

“Anggota bank telah berusaha untuk mempermudah proses permohonan dan dokumentasi. Setelah menerima bukti dokumentari kelayakan yang relevan, bank akan memberikan bantuan pembayaran khusus seperti yang dinyatakan di atas untuk peminjam terjejas,” katanya.

Sementara itu Persatuan Institusi-Institusi Pembangunan Kewangan Malaysia (ADFIM) dalam kenyataan berasingan berkata, Institusi Kewangan Pembangunan yang menjadi Ahli ADFIM memberi komitmen untuk memastikan mereka yang disasar akan mendapat bantuan yang diumumkan.

Katanya, perlu diingatkan bahawa setiap permohonan adalah berdasarkan syarat-syarat yang perlu dirujuk kepada pihak institusi kewangan masing-masing.

“Sehubungan itu, ADFIM menasihatkan pelanggan-pelanggan ahli ADFIM untuk menghubungi cawangan yang berhampiran untuk mengetahui dengan lebih lanjut sebarang kemudahan yang ditawarkan oleh ahli persatuan,” katanya. – BERITA HARIAN

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close