MalaysiaPilihan Editor

PRN6: Lebih 50 Peratus Undi UMNO Berisiko Beralih Kepada PN – Kajian

Lebih separuh pengundi UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tahun lalu berisiko beralih sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.

Ia berdasarkan dapatan kajian Ilham Centre membabitkan 2,304 pengundi di enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu ketika tempoh kempen antara 29 Julai hingga 8 Ogos lalu.

Panel Penyelidikan Ilham Centre diketuai Pengarah Eksekutifnya, Hisommudin Bakar, berkata kajian itu mendapati sekitar 27 hingga 58 peratus pengundi UMNO pada PRU15 yang berpindah mengundi PN dalam PRN esok.

Katanya, situasi itu antara lain disebabkan tiga faktor, khususnya rasa tidak puas hati dalam kalangan hampir semua akar umbi terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyebabkan mereka tawar hati untuk mengundi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Boleh dirumuskan hampir konsensus pandangan ahli akar umbi UMNO menyatakan ketidakpuasan hati kepada Presiden UMNO, menyebabkan mereka tawar hati untuk mengundi PH-BN, selain sebahagian besar agak pasif dan dalam mod tunggu dan lihat.

“Ahli UMNO juga berkemungkinan membuat peralihan undi kepada PN atas faktor lebih dekat dengan PAS kesan kerjasama Muafakat Nasional (MN) yang lalu.

“Dari segi psikologi, selama ini mereka memangkah BN kini bagi DUN ditandingi PH, tiada logo berkenaan lagi, selain mereka takut disindir oleh orang PAS yang mengatakan orang UMNO-BN sudah membela DAP-PH yang didoktrin sekian lama dalam UMNO,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Ilham Centre turut sangsi dengan keupayaan UMNO menarik sokongan orang Melayu dalam PRN kali ini, sekali gus tidak mampu membantu Kerajaan Perpaduan merampas tiga negeri yang ditadbir PN.

“Dengan situasi pasca PRU15 dijangka tidak banyak berubah dan politik dalaman UMNO yang masih berkecamuk serta penerimaan Kerajaan Perpaduan yang sederhana dalam kalangan orang Melayu, PN dijangka terus menguasai undi kelompok ini,” katanya.

Dalam PRU15 tahun lalu, PN memperoleh 52 peratus undi orang Melayu, disusuli BN (32 peratus) dan PH (15 peratus).

Sementara itu, Panel Penyelidikan Ilham Centre turut mendapati majoriti sokongan 4.9 juta pengundi muda berusia 18 hingga 39 tahun masih kekal bersama PN seperti PRU15 yang lalu, dengan pelbagai usaha Kerajaan Perpaduan dilihat belum cukup menarik minat anak muda untuk mengubah sokongan.

Katanya, kajian mendalam yang dilakukan kepada kelompok itu mendapati tiada tanda pergerakan sokongan yang signifikan kepada Kerajaan Perpaduan.

“Seperti sebelum ini, mereka tidak kekok berkongsi kecenderungan politik secara terbuka, malah kini lebih jelas menunjukkan pendirian politik masing-masing.

“Kecenderungan membuat keputusan mereka berbeza berdasarkan demografi, psikografi dan lokaliti,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close