Barisan Nasional (BN) Terengganu belum menetapkan untuk mengetengahkan calon ‘poster boy’ menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Ahmad yang juga calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, berkata pihaknya mahu memastikan kemenangan pada PRN terlebih dulu sebelum memikirkan tentang perkara itu.
“Apa yang boleh saya katakan, setakat ini tidak ada poster boy bagi BN Terengganu dan tunggu la menang PRN dulu.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Watikah kepada 27 calon BN yang bertanding pada PRN di Pejabat Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, di sini.
Beliau berkata, semua calon diharapkan mengambil peluang ini untuk berkhidmat kepada rakyat dan berkempen sebaik mungkin dengan turun ke semua kawasan.
“Yang mana ada kelemahan kita perlu dibetulkan segera dan kita buanglah ego kita, kita perlu menyerah diri kepada pengundi bagi memastikan mereka memilih kita pada kali ini.
“Kerana bagi saya, inilah percubaan terakhir bagi menawan negeri Terengganu dan sebab itu saya berharap, kita kena merendah diri dengan bekerjasama sebaik mungkin demi matlamat perjuangan parti,” katanya.
Ahmad juga berkata, pihaknya juga ingin menambah satu manifesto iaitu Bantuan RM1,000 kepada calon-calon yang akan menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Ditanya ada sesetengah individu tidak berpuas hati dengan pencalonan yang diumumkan, Ahmad menegaskan perkara itu tidak boleh lari dan perlu terima dengan hati terbuka.
“Kita perlu berlapang dada menerima sebarang keputusan yang sudah dibuat dan jika sebelum orang bekerja untuk diri kita, kali ini kita juga perlu bekerja untuk orang lain.
“Bukannya apabila nama tidak dicalonkan, kita lari meninggalkan parti dan ini yang kita tidak mahu,” katanya. – BH ONLINE