Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menawarkan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) kepada 27,674 pelajar membabitkan peruntukan RM41.5 juta bagi sesi kemasukan ke institusi pengajian tinggi tahun ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, berkata WPP itu ditawarkan kepada pelajar warganegara Malaysia yang bersetuju menerima bantuan itu ketika membuat permohonan kemasukan ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) melalui UPUOnline atau portal kemasukan universiti awam (UA).
Beliau berkata, ibu bapa atau penjaga pelajar pula adalah dalam kalangan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan memenuhi kriteria kelayakan ditetapkan.
“Setiap pelajar yang layak akan menerima RM1,500 sebagai persiapan awal memasuki UA atau politeknik, bagi meringankan beban kewangan dan menjaga kebajikan mereka.
Norliza berkata, PTPTN komited memastikan tiada pelajar tercicir daripada menyambung pengajian hanya kerana kekangan kewangan.
Beliau berkata, pelajar boleh menyemak tawaran WPP melalui aplikasi myPTPTN dan membuat penebusan di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara bermula Rabu ini.
Katanya, tempoh sah laku penebusan adalah dua bulan iaitu dari 24 September hingga 23 November ini dan pelajar perlu membawa surat tawaran WPP yang dicetak melalui aplikasi myPTPTN serta MyKad.
“Penebusan oleh wakil pelajar adalah tidak dibenarkan,” katanya.
Sementara itu, Norliza berkata, seramai 1,380 pelajar di Pulau Pinang menerima WPP membabitkan peruntukan RM2.07 juta, termasuk 88 pelajar di kawasan Bukit Gelugor yang menerima manfaat sama dengan jumlah RM132,000.
“Kita mengucapkan tahniah kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Kita harap bantuan ini dapat menyokong usaha menimba ilmu dan melahirkan graduan berkualiti,” katanya. – BH ONLINE




