Pilihan EditorTwo Cents

PANDANGAN: Lawatan Xi Jinping Bakal Cetus Dinamik Baharu Perdagangan Malaysia-China – Penganalisis

Lawatan tiga hari Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia amat penting dan berlaku pada masa yang kritikal, memandangkan tarif serta ketegangan ekonomi global memberi kesan kepada dinamik perdagangan dua hala dan serantau, demikian menurut penganalisis.

Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini mempunyai kedudukan unik untuk memudahkan perbincangan mengenai kerjasama perdagangan dan cabaran berkaitan tarif.

MIDF Research menyifatkan lawatan itu adalah amat penting memandangkan Malaysia kini mempengerusikan ASEAN dan menjadi penyelaras bagi Dialog Hubungan ASEAN-China.

“Walaupun ketegangan global yang berterusan, pembabitan perdagangan Malaysia dengan China dijangka semakin mendalam, terutamanya jika kedua-dua negara memilih untuk mengembangkan perdagangan dua hala sebagai sebahagian daripada strategi kepelbagaian sebagai tindak balas kepada tarif AS dan peralihan beransur-ansur daripada pergantungan pada pasaran AS.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid juga menyifatkan lawatan Presiden China itu ke Malaysia dikirakan tepat pada masanya ketika hubungan perdagangan antarabangsa berdepan cabaran dan tekanan daripada ancaman tarif oleh Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Beliau berkata, kedudukan Malaysia sebagai pengerusi blok ASEAN memberikan kelebihan dari aspek keutamaan untuk ketua ekonomi kedua besar dunia itu untuk bertemu dengan kepimpinan tertinggi negara.

Katanya, sebagai rakan dagang terbesar negara lebih 15 tahun berturut-turut, apa yang mahu diteruskan adalah kesinambungan bersama untuk mempunyai hubungan perdagangan yang kukuh walaupun cabaran perdagangan dunia dijangka lebih perlahan tahun ini.

“Dengan tarif import terbesar yang dikenakan oleh kerajaan AS ke atas barangan dari China dan sebaliknya China juga membalas dengan menaikkan juga di pihaknya, persoalannya adakah ia akan membawa kepada perang perdagangan dunia yang lebih besar selepas 90 hari penangguhan kerajaan Trump baru-baru ini.

“Jadi, perlunya China berbincang dengan Malaysia dan ASEAN akan strategi perdagangan antarabangsa alternatif dalam menangani cabaran tarif Trump yang menimbulkan gangguan besar kepada ekonomi serta perdagangan dunia semasa,” katanya.

Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff melihat lawatan Jinping ke Malaysia bakal menjadikan lawatan yang paling penting dan bersejarah ketika dunia sedang beralih daripada sistem unipolariti, iaitu satu kuasa besar ekonomi menguasai dunia kepada sistem multipolariti, iaitu beberapa kuasa blok ekonomi menjalinkan hubungan sesama mereka.

Justeru, katanya, amat penting bagi Malaysia mengambil peluang yang ada untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dengan beberapa peneraju ekonomi dunia seperti China yang juga rakan dagang utama Malaysia sejak 16 tahun lalu hingga kini.

“Lawatan ini penting untuk memastikan kerjasama yang lebih erat bukan saja dalam perdagangan tetapi merangkumi jaringan rantaian bekalan dan pembangunan infrastruktur mega seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menjadikan sebagai Malaysia sebagai rakan kongsi penting dalam inisiatif Jalur dan Jalan China.

“Selain itu, kerjasama dalam sektor ekonomi tertentu seperti nadir bumi, teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), tenaga hijau dan sebagainya adalah amat penting kerana setiap negara mempunyai kelebihan masing-masing yang boleh digembleng bersama demi kemakmuran bersama,” katanya.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, pula berpendapat perjanjian bilateral bersama China mungkin dapat dilaksanakan bagi mengeratkan lagi kerjasama ekonomi memandangkan pelaburan oleh China adalah ketara di Malaysia.

Beliau berkata, pelaburan seperti dalam projek ECRL, Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) serta projek hartanah di Forest City antara mercu tanda yang melambangkan keakraban hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.

“Memandangkan kedua-dua negara iaitu China dan Malaysia dikenakan tarif yang tinggi oleh AS, maka terdapat suatu persamaan yang dikongsi yang memungkinkan suatu kerjasama dapat dicapai dalam hal berkaitan perdagangan.

“Buat masa ini, perjanjian perdagangan seperti perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) adalah perjanjian perdagangan yang ada membabitkan kedua-dua negara ini,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close