Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melaksanakan kerjasama strategik bersama The New Straits Times (NST) sempena ulang tahun ke-180 tahun akbar berbahasa Inggeris itu dengan melancarkan inisiatif pertama di Malaysia iaitu artikel berita audio dengan kod QR.

Ciri baharu itu membolehkan pembaca membaca dan mendengar berita pada masa sama dengan hanya mengimbas kod QR yang terdapat pada artikel terpilih dalam akhbar cetak atau versi dalam talian.
Dijangka lebih 1,099 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sokong dan bekerjasama rapat dengan NST untuk memperluaskan capaian inisiatif ini ke setiap negeri dan komuniti di Malaysia, khususnya di kawasan luar bandar serta kurang mendapat liputan.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa melahirkan keyakinan bahawa menerusi lebih 1,099 pusat NADI di seluruh negara, inisiatif ini mampu dan akan sampai ke pelosok paling jauh, daripada pedalaman Sabah dan Sarawak hinggalah ke desa di Kedah serta Kelantan.

Terdahulu, Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA) Media Prima Berhad dan Pengarang Kumpulan NST, Farrah Naz Abd Karim, berkata, inisiatif dinamakan ‘Heard the News? Read with Me’ itu bertujuan merapatkan jurang antara media cetak dan digital, selain menawarkan cara lebih inklusif, interaktif serta mendidik dalam menikmati berita.

“Heard the News?’ Read with Me bukan sekadar inovasi teknologi. Ia lahir daripada komitmen kami untuk menjadikan berita boleh diakses oleh semua, tanpa mengira usia, latar belakang atau kemampuan.
“Hanya dengan mengimbas kod QR di akhbar NST atau menekan butang ‘play’ di laman sesawang, pembaca boleh mendengar berita yang dibacakan, sambil mengikuti teks bercetak atau digital.

Inisiatif ini akan membantu rakyat Malaysia, terutamanya mereka yang bukan penutur asal bahasa Inggeris, meningkatkan penguasaan bahasa, memperluas kosa kata dan memperkukuh kemahiran kefahaman,” katanya dalam majlis pelancaran program Heard The News? Read with Me di IWK Eco Park, di Pantai Dalam, di sini.
Pelancaran yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi yang turut hadir Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Ahli Suruhanjaya SKMM, Jeneral (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin; Pengarang Urusan Kumpulan GME Media Prima, Jasbant Singh dan Ketua Pegawai Operasi Media Prima OMNiA, Datuk Mohd Efendi Omar.
Pembaca yang ingin mencuba inisiatif ini boleh mengimbas kod QR pada artikel terpilih di NST atau melayari www.nst.com. my/heardthenews untuk mendengar versi audio berita dibacakan penyampai NST. – BACALAHMALAYSIA.MY/BH ONLINE




