GovernansMalaysiaPilihan Editor

Hasil Kerajaan Bertambah, Ada Berita Baik Untuk Rakyat Dalam Belanjawan 2026 – KSU Perbendaharaan

Rakyat boleh menjangkakan berita baik dalam Belanjawan 2026 susulan penambahan RM10 bilion ke dalam pendapatan kerajaan pada tahun depan hasil peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

“Insya-Allah (ada berita baik dalam Belanjawan 2026), tetapi sekarang belum masanya untuk (dikongsikan). Tetapi akhirnya, segala hasil yang diterima kerajaan akan digunakan untuk menyediakan perkhidmatan kepada rakyat.

“Jika kita teliti penyata kewangan kerajaan, terdapat tiga komponen iaitu hasil, perbelanjaan operasi dan perbelanjaan pembangunan.

“Sebenarnya, jumlah perbelanjaan operasi hampir menyamai jumlah hasil dikutip.

“Ini bermakna, sebahagian besar hasil kerajaan digunakan untuk membiayai perkhidmatan awam termasuk kos operasi hospital, sekolah dan pelbagai perkhidmatan lain yang disediakan kepada rakyat,” katanya ketika menjawab soalan pada sesi secara langsung di media sosial TikTok.

Johan baru-baru ini berkata, jumlah kutipan SST diunjur bertambah RM5 bilion bagi 2025 dan RM10 bilion pada 2026 selepas pelaksanaan semakan dan peluasan skop yang bermula 1 Julai ini.

Mengulas lanjut dalam sesi secara langsung itu, Johan berkata, secara keseluruhan hampir semua hasil kerajaan dibelanjakan demi kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, seperti dinyatakan sebelum ini, antara peningkatan ketara dalam Belanjawan 2025 adalah dalam sektor kesihatan dan pendidikan.

“Kita juga yakin untuk tahun depan, kedua-dua sektor ini akan terus menjadi keutamaan dalam usaha menambah baik perkhidmatan awam.

“Contohnya, peruntukan sektor kesihatan telah meningkat daripada RM41 bilion kepada RM45 bilion tahun ini.

“Sebahagian besar daripada peningkatan ini akan digunakan untuk menyerap doktor kontrak bagi menangani isu yang sedang berbangkit, dengan lebih RM1 bilion diperuntukkan untuk tujuan tersebut.

“Selain itu, sebanyak RM400 juta turut diperuntukkan bagi kerja menaik taraf dan membaiki klinik daif,” katanya.

Johan berkata, usaha sedemikian adalah ke arah memastikan kualiti dan keselesaan rakyat dalam menerima perkhidmatan kerajaan.

“Saya yakin dalam pendidikan pula, kerajaan dijangka terus menambah baik mutu dan akses kepada sistem pendidikan awam dalam Belanjawan 2026.

“Semua ini akan dibiayai melalui peluasan hasil negara yang dilaksanakan secara berhemat dan progresif,” katanya.

Mengikut Takwim Penggal Keempat Parlimen Ke-15 2025, Belanjawan 2026 dijadual akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Oktober depan.

Pada tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan belanjawan tertinggi pernah diumumkan dalam Belanjawan 2025 membabitkan peruntukan RM421 bilion dengan RM335 bilion adalah untuk belanja mengurus, RM86 bilion bagi belanja pembangunan, tidak termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close