MalaysiaPilihan Editor

Kontinjen SKMM Turut Sertai Perarakan Hari Kemerdekaan 2025 Untuk Julung Kalinya

Sambutan penuh warna-warni Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya tahun ini menyaksikan buat julung kalinya kontinjen Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melangkah gagah dalam perarakan yang sungguh bermakna pada 31 Ogos 2025 lalu.

Penyertaan SKMM mencatat detik bersejarah dan penuh penghormatan dan kebanggaan buat warga SKMM di pentas kebangsaan.

SKMM turut menampilkan kereta berhias yang memperagakan inisiatif utama seperti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), kenderaan PRIME, NEXUS, JENDELA serta Kapten K-Dat menerusi Kempen Internet Selamat.

Seramai 54 pegawai menggalas peranan dalam kontinjen SKMM, membawa semangat perpaduan dan aspirasi digital untuk Malaysia MADANI.

Sambutan kali ini turut dimeriahkan dengan persembahan lagu tema sambutan Hari Kebangsaan; Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni yang disampaikan oleh Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Sambutan kali ini membabitkan 14,010 peserta, 81 kontinjen, 21 kumpulan pancaragam, 437 aset darat dan udara serta 116 ekor haiwan dalam perkhidmatan dan tujuh kereta berhias yang turut disiarkan dan diikuti jutaan rakyat Malaysia secara langsung melalui kaca televisyen dan laman media sosial.

Mereka mewakili pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta.

Perbarisan dan perarakan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini terdiri daripada Kontinjen Kenegaraan; Perarakan Rakyat; Ekonomi dan Swasta; Penyiaran dan Industri Kreatif; Sukan Negara; Aset Kenderaan Tempatan, Aset Kenderaan EV (Elektrik); Kesejahteraan serta Keselamatan Negara.

Acara kemuncak yang dinantikan pengunjung sudah tentunya menerusi persembahan udara dengan formasi oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ia membabitkan persembahan formasi aset udara termasuk pesawat tempur SU-30 MKM, Hawk, A400M dan helikopter. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close