MalaysiaPilihan Editor

Rugi RM10,049 Terpedaya Tawaran Kerja Palsu

Seorang wanita kerugian RM10,049 selepas terpedaya dengan tawaran kerja di laman sosial yang menjanjikan komisen tinggi daripada kegiatan promosi dan pembelian produk secara dalam talian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani, berkata mangsa berusia 33 tahun tertarik dengan tawaran kerja itu dan menghantar pesanan produk melalui nombor yang diberikan menerusi WhatsApp.

“Jam 2.39 petang semalam, mangsa memindahkan wang RM32 ke akaun yang diberikan dan kurang 10 minit, mangsa menerima bayaran berserta komisyen dalam akaunnya sebanyak RM35.20,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jam 2.54 petang, mangsa memindahkan RM149 ke akaun sama dan mendapat semula wang berserta komisyen RM163.09.

Transaksi berikutnya jam 3.16 petang, mangsa memindahkan RM1,750 ke akaun lain pula dan dimaklumkan perlu menambah jualan dua produk lagi bagi mendapatkan pulangan wang. Mangsa menuruti setiap arahan dan melakukan dua lagi transaksi pembayaran dengan setiap satunya bernilai RM1,750.

“Selepas tiga transaksi, mangsa diarahkan membayar RM4,799 untuk menjual satu lagi produk baharu bagi mendapatkan pulangan wang.

“Pada jam 3.58 petang, selepas membuat pemindahan wang, mangsa dimaklumkan terdapat masalah pada sistem selain jumlah wang yang dimasukkan adalah salah dan pulangan modal tidak dapat diberikan,” katanya.

Berikutan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Rahang semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam pada itu, katanya, polis mengesan satu sindiket aktif menipu dalam talian dengan menggunakan modus operandi tawaran kerja sambilan yang kononnya ditawarkan oleh syarikat jualan dalam talian terkenal.

Sejak Februari hingga Julai tahun ini, 25 kertas siasatan berkaitan tawaran kerja sambilan palsu telah dibuka membabitkan kerugian RM570,000.

“Siasatan mendapati kerugian terendah adalah sebanyak RM1,200 manakala kerugian tertinggi RM138,000,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close