
Coca-Cola Malaysia memeterai perjanjian konsesi minuman baharu dengan rangkaian pawagam Golden Screen Cinemas Sdn Bhd (GSC), mengukuhkan lagi hubungan perniagaan strategik yang terjalin sejak tiga dekad.
Ketua Pegawai Eksekutif Bottling Investments Group bagi Singapura, Malaysia, dan Brunei, Louis Balat Joseph, berkata kerjasama yang diperbaharui itu menandakan satu pencapaian kolektif yang penting serta melambangkan kepercayaan dan komitmen kukuh antara satu sama lain.
Bottling Investments Group adalah anak syarikat The Coca-Cola Company.
“Apa yang baharu ialah hasrat kami untuk terus berinovasi dalam komitmen kami untuk memberi keutamaan kepada pengguna kami dalam apa jua yang kami lakukan,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas majlis permeteraian perjanjian itu, di sini, hari ini.
“Kami mempunyai 12 hingga 14 pawagam baharu yang akan mula beroperasi dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang. Kami telah membuka kira-kira tiga pawagam setiap tahun.
“Jadi tahun ini kami telah berkembang di IOI Putrajaya dan membuka lima pawagam, manakala lapan pawagam lagi akan dibuka pada Mei,” katanya. -BERNAMA