GovernansMalaysiaPilihan Editor

SPRM Siasat 200 Syarikat Seleweng

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneliti lebih 200 syarikat, organisasi dan entiti yang disyaki terbabit dalam penyelewengan pemberian geran Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Pemberian geran MITRA dengan pelbagai jumlah peruntukan itu diberikan kepada pelbagai pihak untuk tujuan pembangunan sosio-ekonomi masyarakat keturunan India.

Banyak daripada penerima geran itu, khususnya syarikat gagal melaksanakan program yang diluluskan, tetapi melaporkan sudah diselesaikan sepenuhnya.

Difahamkan, ada penerima geran MITRA mendapat dana dari RM1 juta dan paling besar RM9 juta.

“Kita akan melihat satu-satu pihak yang menerima geran MITRA itu, termasuklah penerima terbesar bernilai RM9 juta, sama ada program atau projek yang dinyatakan benar-benar dilaksanakan dan dimanfaatkan kepada kaum India.

“Mereka ini memohon peruntukan untuk mengadakan program membangunkan sosio-ekonomi kaum India dan melaporkan ia sudah dilaksanakan apabila dana itu diperoleh.

“Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati banyak penyelewengan berlaku dan program itu tidak dijalankan seperti yang dilaporkan,” kata sumber.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi BH berkata, siasatan akan diteruskan dengan maklumat baharu.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa lagi pihak akan dipanggil. termasuk mereka yang terbabit secara langsung dalam pemberian dana MITRA itu.

BH melaporkan SPRM menahan 16 orang pengarah syarikat kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan jutaan tinggit geran MITRA.

Semua individu terbabit yang berusia antara 24 tahun dan 68 tahun dikaitkan dengan agensi di bawah Kementerian Perpaduan Negara.

BH turut melaporkan projek penternakan lembu, pembekalan latihan keusahawanan untuk anak muda dan pembekalan pelbagai peralatan antara projek serta peruntukan melalui MITRA yang diseleweng oleh penerima geran berkenaan.

Kebanyakan projek dan peruntukan untuk mengukuhkan ekonomi kaum India itu tidak sampai kepada golongan sasar. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close