Duniaku Teknokrat

Syed Zainal Dilantik Pengerusi Urban Mobility Asia

Urban Mobility Asia Sdn Bhd yang membangunkan platform perkongsian kereta persendirian Moovby, melantik Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir sebagai Pengerusi Bukan Eksekutifnya berkuat kuasa 7 Julai lalu.

Beliau mempunyai pengalaman profesional yang luas di Perodua Auto Corporation Sdn Bhd, Hicom Holding Bhd, Petroliam Nasional Bhd serta Proton Holdings Bhd.

Menurut kenyataan syarikat itu, pelantikan Syed Zainal dilihat tepat pada masanya ketika Moovby menyasarkan untuk terus melebarkan sayapnya dalam rantau ini.

“Berbekalkan kepakaran luas dalam sektor automotif, penyertaan beliau akan membantu melonjakkan Moovby bagi melaksanakan penyelesaian paling optimal bagi hos serta penyewa kami.

“Malah, berdasarkan pertumbuhan memberangsangkan syarikat-syarikat di bawah pimpinannya sebelum ini, kami melihat pengalaman luas itu sebagai aset berharga dalam kejayaan Moovby di Malaysia serta Asia Tenggara,” kata Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Moovby, Nik Muhammad Amin Nik Muhammad Kamal.

Sementara itu, Syed Zainal berkata, perubahan perkongsian ekonomi yang menyaksikan Moovby menjadi pelopor perkongsian kereta setara P2P di Malaysia, turut memaparkan inovasi dan kesediaan syarikat itu dalam menawarkan penyelesaian.

“Saya amat percaya dengan wawasan Moovby untuk menangani cabaran mobiliti bandar. Oleh kerana kejayaan Nik (Muhammad Amin) terus menjadi bualan ekosistem syarikat pemula niaga tempatan, saya optimis dengan kemajuan yang bakal dikecapi Moovby di bawah pasukan pengurusan sekarang,” katanya.

Pada 2019, Moovby sudah bertapak di bandar-bandar Indonesia seperti Jakarta, Bandung dan Bali menerusi 3,000 kereta.

Malah, operasinya turut berkembang sehingga ke Depok, Bogor, Tangerang, Bekasi, Semarang dan Surabaya.

Ia yang kini mempunyai kekuatan sebanyak 20,000 kenderaan, telah menyasarkan untuk meluaskan operasi ke Yogyakarta, Kalimantan, Sulawesi serta Lombok. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close