Ekonomi Islam & GlobalGovernansPilihan Editor

Malaysia Sertai Pembangunan Ibu Kota Baharu Indonesia Dengan Potensi Nilai RM1b

Malaysia meningkatkan hubungan dua hala dengan Indonesia menerusi pembabitan syarikat negara dalam pembangunan Nusantara, ibu kota Indonesia yang baharu di Kalimantan Timur, berhampiran Sarawak dengan potensi nilai RM1 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memulakan lawatan rasmi dua hari, hari ini, menyaksikan majlis penyerahan 11 Surat Hasrat (LoI) membabitkan penyertaan 10 syarikat Malaysia dalam pembangunan Nusantara.

Kehadiran syarikat Malaysia itu bukan sahaja mengukuhkan keakraban, malah membuka peluang perniagaan dan perdagangan kepada syarikat kedua-dua negara.

Surat Hasrat itu diserahkan kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Yang turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Success Electronics & Transformer Manufacturer Sdn Bhd (SETM), pengeluar transformer voltan rendah dan pembekal lampu LED industri berskala besar, menyatakan minat melaksanakan penggunaan lampu jalan LED pintar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Penyerahan Surat Hasrat (LoI) dan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia di Jakarta hari ini. - Foto ihsan Pejabat Perdana Menteri
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Penyerahan Surat Hasrat (LoI) dan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia di Jakarta hari ini. – Foto ihsan Pejabat Perdana Menteri

 

Carsome, syarikat e-dagang kenderaan bersepadu turut menyatakan minat untuk mendigitalkan perdagangan automotif di Nusantara serta penubuhan pusat pemeriksaan dan pengalaman kereta; pusat baik pulih kereta; Akademi TVET Automotif; bengkel automotif dan pusat servis serta ibu pejabat Carsome di Nusantara/ wilayah Borneo.

Olympic Cable Company (OSK Group) yang menghasilkan kabel aluminium dan tembaga pula mahu mengembangkan produknya, termasuk kabel kawalan, kabel instrumentasi, kabel berbilang teras, gentian optik, kabel minyak dan gas serta lain-lain untuk memenuhi permintaan utiliti, infrastruktur, bangunan dan pembinaan, telekomunikasi dan industri lain untuk pasaran tempatan dan pasaran eksport antarabangsa.

Selain itu, Boustead Properties Berhad, pemaju induk dalam aktiviti teras dalam pembangunan, pengurusan, pelaburan hartanah dan pembangunan perbandaran lestari, menyatakan minat membangunkan hartanah serta perkongsian pengetahuan dalam membangunkan perbandaran pintar pintar yang mampan.

Tawar kepakaran

Syarikat berkenaan juga menawarkan bidang farmaseutikal, kewangan, perbankan, perladangan, pelancongan, industri berat, pendidikan, perdagangan, hotel dan resort serta hartanah dan pelaburan.

Berjaya Corporation Berhad, konglomerat pelbagai perniagaan turut berminat menawarkan kepakaran pengurusan sisa pepejal, bekalan air minuman, pembangunan hartanah dan perumahan serta teknologi bandar pintar di pusat pentadbiran itu.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Penyerahan Surat Hasrat (LoI) dan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia di Jakarta hari ini. - Foto ihsan Pejabat Perdana Menteri
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Penyerahan Surat Hasrat (LoI) dan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia di Jakarta hari ini. – Foto ihsan Pejabat Perdana Menteri

 

Kumpulan farmaseutikal bersepadu terbesar, Pharmaniaga Berhad yang juga pembekal produk dan perkhidmatan berkualiti dalam industri penjagaan kesihatan pula menawarkan produk serta perkhidmatan penjagaan kesihatan berpatutan dan berkualiti.

Alliance MEP (Sarawak) Sdn Bhd, iaitu syarikat perkhidmatan perundingan kejuruteraan mekanikal dan peralatan (M&E) membabitkan reka bentuk, audit teknikal, kajian kebolehlaksanaan dan pengurusan projek infrastruktur, perindustrian, komersial, bukan komersial dan kediaman berminat untuk menyediakan perkhidmatan profesional.

Syarikat utiliti negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut berminat meneroka dan mengambil bahagian dalam pembangunan serta pengendalian penyelesaian tenaga merentasi pelbagai teknologi yang ada seperti gas, suria, angin, hidro dan penyimpanan bateri.

Protasco Berhad menerusi HCM Engineering, firma kejuruteraan pembangunan, pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur dan hartanah, pendidikan swasta, perdagangan serta pembekalan bahan binaan, berminat membangunkan infrastruktur dan perumahan kerajaan.

 

Anwar berada di Indonesia selama dua hari, iaitu lawatan pertamanya ke luar negara selepas dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10. - Foto ihsan Pejabat Perdana Menteri
Anwar berada di Indonesia selama dua hari, iaitu lawatan pertamanya ke luar negara selepas dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10. – Foto ihsan Pejabat Perdana Menteri

 

Menerusi syarikat pembangunan, pembinaan dan penyelenggaraan tenaga boleh diperbaharui (RE) dan stesen pengecasan, i2 Energy berminat membangunkan RE dan stesen pengecasan.

Reneuco Berhad pula syarikat yang terbabit dalam segmen tenaga dan utiliti lestari membabitkan aktiviti berkaitan pembinaan dan perkhidmatan kejuruteraan khusus dalam menyediakan perkhidmatan tenaga serta utiliti yang mampan.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, syarikat Malaysia dijangka beroperasi pada tahun depan bersamaan dengan ibu kota Nusantara dibuka.

“Hubungan serumpun dua negara ini membolehkan syarikat Malaysia menjalankan perniagaan dengan potensi nilai hingga RM1 bilion,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close