Pilihan EditorTurun Naik

Bajet 2023 Perlu Fokus Inisiatif Jayakan Pelan Basmi Rasuah

Baru-baru ini, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah gejala rasuah di negara ini disifatkan berada pada skala membahayakan, berdasarkan laporan rasmi agensi kerajaan dan kes disiasat serta dibicarakan di mahkamah.

Ironinya rasuah memberi kesan langsung terhadap kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara apabila berlaku ketirisan dalam aspek pengurusan sumber pendapatan dan ekonomi negara serta kesejahteraan rakyat.

Kemudaratan rasuah kepada negara bukan menjadi rahsia umum, misalnya EMIR Research menganggarkan Malaysia mengalami kerugian hampir RM3 trilion dalam tempoh 25 tahun akibat amalan rasuah serta ketirisan dalam pengurusan negara.

Justeru, bajet kali ini perlu tampil dengan usaha dan inisiatif tambahan untuk menyelamatkan rakyat serta negara daripada rasuah. Tidak ada alasan lagi bagi kerajaan untuk menzahirkan komitmen memerangi rasuah melalui Bajet 2023.

Perkara ini penting kerana menurut Laporan Kemajuan NACP 2019-2023, setakat ini hanya 37 atau kira-kira 33 peratus daripada 111 inisiatif ditetapkan berjaya diselesaikan.

Kerajaan juga disaran melalui bajet ini untuk memastikan baki semua inisiatif NACP diteruskan dan kemajuan pelaksanaan agensi berkaitan dipantau secara konsisten bagi memastikan inisiatif ini selari dengan NACP.

Pendigitalan perkhidmatan awam

Selain itu, bajet untuk tahun depan juga perlu menggariskan hala tuju jelas bagi memperkasakan perkhidmatan awam terutama dalam konteks meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.

Antara langkah untuk meningkatkan kecekapan ini adalah melalui pengukuhan aspek akauntabiliti dan ketelusan tadbir urus.

Dalam hal ini, pendigitalan dilihat antara formula berkesan untuk menangani ketirisan dan salah guna kuasa dalam sektor awam.

Pendigitalan perkhidmatan awam adalah langkah wajar mengekang jenayah rasuah kerana penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) mampu mengurangkan interaksi antara pemberi dengan penerima perkhidmatan, sekali gus mengurangkan ruang serta peluang berlaku atau penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Maka, bajet kali ini perlu menggariskan peruntukan diperlukan untuk melaksanakan pendigitan sepenuhnya agensi awam terutama dilabel sangat sensitif dan sentiasa menjadi sasaran individu mengambil kesempatan untuk menyalahgunakan kuasa dan kedudukan serta menerima rasuah.

Pada masa sama bajet ini juga perlu menyediakan penambahan perjawatan kritikal kepada agensi penguatkuasaan bagi membantu membanteras rasuah.

Ia susulan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sukar bertindak memerangi rasuah secara besar-besaran berikutan kekurangan pegawai penyiasat.

Ketika ini SPRM mempunyai kira-kira 3,000 kakitangan di seluruh negara, namun daripada jumlah itu hanya 30 peratus atau 900 orang ditugaskan di bahagian siasatan.

Oleh itu, kerajaan patut meluluskan bajet tambahan bagi perjawatan pegawai penyiasat SPRM bagi membolehkan agensi ini dapat menangani bilangan kes rasuah semakin meningkat.

Kerajaan juga boleh membuktikan keazaman dan iltizam politik untuk membanteras rasuah dengan mengumumkan dalam bajet kali untuk meletakkan SPRM di bawah Parlimen, di samping bersedia meminda Seksyen 58 Akta SPRM 2009 supaya kuasa pendakwaan terhadap kes rasuah diserahkan sepenuhnya kepada suruhanjaya.

Langkah ini pasti akan menjadi titik tolak sangat signifikan untuk membanteras rasuah di negara ini. Apa yang diharapkan, inisiatif dan peruntukan dalam Bajet 2023 akan merintis jalan ke arah usaha untuk membersihkan rakyat dan negara daripada amalan rasuah.

  • Penulis adalah Timbalan Ketua, Jawatankuasa Pemikir Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close