Kepemimpinan UMNO bahagian perlu menentukan sendiri calon yang benar-benar layak untuk bertanding pada pilihan raya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata ini kerana hanya kepemimpinan bahagian yang lebih mengenali individu, sama ada layak atau tidak untuk diketengahkan sebagai calon pilihan raya.
“Kalau tiba musim pilihan raya, janganlah beri Presiden yang tentukan nama calon itu, (sebaliknya) pemimpin UMNO bahagian yang perlu duduk dan berbincang untuk menentukan calon yang yang boleh menang di sesuatu kerusi.
“Di kerusi Parlimen juga begitu, pilih calon berkaliber yang boleh menang, kemudian kumpulkan nama mereka dan hantar kepada pucuk kepemimpinan parti untuk disahkan.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah, di Dewan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Paya Lebar, di sini hari ini.
“Pergolakan dalaman akan menyekat sesuatu keputusan dibuat kerana setiap perkara memerlukan satu keputusan yang dipersetujui bersama. Kita kena bersatu hati (barulah) boleh menang semua kerusi DUN dan Parlimen,” katanya. – BH ONLINE




